Adi Putra selamat diijab kabul dengan Siti Sarah
SHAH ALAM - Genius matematik, Adi Putra Abdul Ghani, 24, telah menamatkan zaman bujangnya bersama gadis pilihan, Siti Sarah Zulkarnain, 27.
Berita gembira dikongsi oleh bapanya, Abdul Ghani dalam hantaran di Facebook.
Menurut Abdul Ghani, majlis perkahwinan anaknya berjalan dengan lancar dan Adi selamat bergelar suami kepada Siti Sarah dengan sekali lafaz.
"Sahlah Adi Putra sebagai raja sehari di Lundang, Kota Bharu.
"Berkat doa daripada tuan, puan, sahabat dan muridnya dengan sekali lafaz nikah sahaja.
"Kenduri kahwin berjalan lancar. Alhamdulillah cuaca pun baik di Kota Bharu hari ini," katanya pada Khamis.
Difahamkan, Adi memberikan wang hantaran berjumlah RM9,999.99 kepada Siti Sarah.
Sebelum ini, Adi Putra pernah menggemparkan negara selepas digelar genius matematik khususnya algebra, trigonometri dan darab.
Anak kelahiran Bagan Serai, Perak itu telah mendapat tawaran melanjutkan pengajian di dua universiti terkemuka dunia iaitu Universiti Oxford dan Universiti Harvard sewaktu berusia enam tahun.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!