Demi KL City sanggup pinjam bank
PINJAMAN bank sebanyak RM300,000 dibuat sebagai antara usaha mendepani masalah kewangan yang dihadapi Kuala Lumpur (KL) City FC bagi membayar tunggakan gaji para pemain The City Boys.
Presiden Persatuan Bola Sepak Kuala Lumpur (KLFA), Khalid Abdul Samad ketika mendedahkan perkara itu mengakui banyak perkara yang berada dalam fikirannya untuk mengendalikan skuad warga kota tersebut.
Menurut Khalid, Ketua Pegawai Eksekutif KL City, Stanley Bernard juga membuat pinjaman peribadi secara berasingan bagi memastikan kelangsungan pasukan tersebut.
“Dengan masalah yang dihadapi, saya telah ambil pinjaman peribadi dalam RM300,000 dan saya rasa Stanley juga membuat pinjaman sedemikian.
“Maka di sini, kami mengambil tanggungjawab untuk menanggung masalah kelab dan bukan kelihatan untuk memegang jawatan kosong sahaja.
“Kita sangat komited untuk memastikan gaji pemain dibayar dan tidak tertunggak lebih daripada dua bulan,” katanya pada sidang akhbar di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur, Cheras pada Khamis.
Kata Khalid, pengurusan KL City komited dalam misi memastikan prestasi pasukan sentiasa dalam momentum terbaik sekali gus meyakinkan para pelabur berpotensi untuk menjalinkan kerjasama dengan kelab tersebut.
"Kita juga ada mendapat tajaan tertentu termasuk daripada syarikat kecil dengan jumlah RM50,000.
"Ini sedikit sebanyak dapat menampung urusan pembayaran gaji pemain yang menelan belanja sehingga RM1.2 juta sebulan.
"Dan kita juga komited untuk memastikan gaji pemain dibayar serta tidak tertunggak lebih dua bulan," ujarnya.
Pada masa sama, Khalid juga mengakui bahawa KL City mengalami tunggakan gaji selama dua bulan yang akan diselesaikan secara berperingkat.
Jelasnya lagi, gaji Ogos akan diselesaikan pada Jumaat manakala untuk gaji September pula adalah pada 7 November ini.
"Dakwaan sesetengah pihak bahawa kami tidak membayar gaji pemain selama empat bulan itu agak tersasar jauh daripada kebenarannya.
"Kami tidak pernah lebih dua bulan tidak bayar gaji," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!