Bekas asnaf tekad ke syurga asbab berniaga

A
A
A

HILANG harta benda, rumah dilelong dan perniagaan lingkup berkali-kali. Katalah apa sahaja bentuk kesukaran, semua itu pernah dilalui oleh Mazlen Mahbob sehingga dirinya pernah bergelar asnaf.

Mazlen, 46, bersama suaminya, Azuddin Abdullah, 50, menceburi banyak perniagaan sejak berkahwin lebih 20 tahun lalu. Antaranya termasuklah khidmat andaman, membuka restoran makanan Barat dan Korea dan katering.

MAZLEN
MAZLEN

Wanita itu sebenarnya memang sudah diajar dari kecil untuk berniaga lantaran latar belakang keluarganya menceburi bidang berkenaan.

Bagaimanapun, ibu kepada empat cahaya mata itu akhirnya akur dengan aturan ALLAH SWT yang mengujinya dalam perniagaan diusahakan bersama suami.

“Mungkin orang lihat saya ada restoran yang besar, namun hakikatnya, perniagaan merudum dan tidak mampu membayar banyak perkara.

“Masa itu juga saya tersedar, baju sekolah anak saya berwarna kekuningan jika dibandingkan dengan kawan-kawannya. Saya benar-benar tak mampu ketika itu.

Artikel Berkaitan:

“Akhirnya, saya tutup restoran. Bermulalah kehidupan saya sekeluarga menumpang di rumah ibu bapa di Wira Damai, Batu Caves, Selangor,” katanya mengimbas kembali kisahnya menjadi asnaf lima tahun lalu, ketika ditemui di pejabatnya di Batu Caves, baru-baru ini.

Selepas itu, Mazlen kembali bangkit mengusahakan perniagaan bubur secara kecil-kecilan di rumah ibu bapanya.

Dipendekkan cerita, wanita itu pada asalnya hanya memohon bantuan zakat untuk anak-anaknya termasuk keperluan lampin pakai buang seorang permata hatinya yang merupakan orang kelainan upaya (OKU).

BESAR harapan Mazlen mahu melihat orang Islam makan makanan yang disediakan oleh Muslim sendiri pada masa akan datang.
BESAR harapan Mazlen mahu melihat orang Islam makan makanan yang disediakan oleh Muslim sendiri pada masa akan datang.

Melihat kesungguhan mereka mengusahakan perniagaan tersebut dan potensinya, Lembaga Zakat Selangor dan Teraju Ekonomi Asnaf (Teras) turut menyuntik bantuan modal perniagaan dan kenderaan untuk memudahkan urusan perusahaan mereka pada 2018.

Kini perniagaan yang diusahakan sejak lima tahun lalu, Ojim Food (Malaysia) Sdn Bhd semakin berkembang walaupun ada pasang surutnya.

Produk bubur berlauk jenama Ojim mempunyai lapan cawangan di sekitar Lembah Klang.

“Tidak mudah sebenarnya untuk bangunkan sebuah pasukan dalam membina perniagaan. Banyak perit getir yang dilalui.

“Kami baru diuji dengan kejatuhan jualan sebelum bulan puasa, selain kemalangan yang turut membabitkan kenderaan untuk menghantar bubur dan ramai pekerja berhenti.

“Untuk membangunkan semula perniagaan dengan mencari pekerja baharu, kami mengambil pendekatan tidak ambil gaji sejak bulan Mac lalu,” katanya.

Dari lubuk hati yang paling dalam, Mazlen ingin kembali membayar zakat pendapatan seperti sebelum ini.

“Sekarang, saya sudah dapat pekerja baharu dan dalam proses menyiapkan akaun untuk tujuan audit. Mudahlah untuk kami melunaskan cukai dan pada masa sama, kami berharap dapat segera tunaikan zakat perniagaan,” katanya yang mengharapkan biarlah berniaga menjadi asbab untuknya ke syurga.

PERNAH bergelar asnaf suatu ketika dahulu, Mazlen kini berusaha untuk menunaikan zakat demi membantu insan yang kurang bernasib baik.
PERNAH bergelar asnaf suatu ketika dahulu, Mazlen kini berusaha untuk menunaikan zakat demi membantu insan yang kurang bernasib baik.

Kepada Sinar Islam, Pengarah Pemasaran Jimfood (Malaysia) Sdn Bhd itu mengakui beliau takut menjadi kaya kerana banyak perkara yang bakal disoal pada hari akhirat kelak.

“Satu prinsip saya pegang, harta tidak boleh bawa mati, tetapi kejayaan yang saya raih di dunia sama ada dari sudut ilmu mahupun harta, kedua-dua itu yang akan menjadi bekalan saya pada hari akhirat nanti.

“Tiada apa-apa yang saya pinta, cukuplah jika sekadar empayar perniagaan saya berkembang dengan baik. Besar harapan saya sebenarnya mahu melihat orang Islam makan makanan yang dihasilkan sendiri oleh Muslim,” tuturnya penuh harapan.

Hampir dua jam perbualan kami, butir bicara Mazlen penuh dengan nasihat kehidupan.

Barangkali asbab kesukaran dihadapi mengajarnya erti sabar dan memberi.

“Sejujurnya, saya sebenarnya buta huruf. Namun, ALLAH SWT jentik hati saya ketika berusia sekitar 30-an. Saya mula serius belajar mengaji hinggakan datuk saya yang merupakan guru al-Quran sanggup turun dari Klang mengajar saya dan suami di Batu Caves,” katanya yang masih menggali ilmu agama sehingga kini.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!