Rodrygo kekal bersama Real Madrid hingga 2028
PEMAIN sensasi Brazil, Rodrygo akan kekal beraksi di Sepanyol bersama Real Madrid untuk tempoh lima tahun lagi sehingga tahun 2028.
Kelab La Liga itu bersetuju melanjutkan kontrak pemain berusia 22 tahun itu ketika kontrak asalnya akan berakhir pada 2025.
Rodrygo menyertai Real Madrid pada 2019 dari Santos dengan yuran perpindahan sebanyak 45 juta euro (RM227 juta).
"Real Madrid dan Rodrygo capai persetujuan lanjutan kontrak untuk kekal di kelab hingga 30 Jun 2028," menurut kata Real dalam satu kenyataan pada Jumaat.
Rodrygo beraksi cemerlang bersama Real apabila meledak 39 gol daripada 179 penampilan.
Penyerang itu juga memenangi lapan trofi, termasuk dua gelaran liga, Liga Juara-Juara dan Piala Dunia Kelab.
Dikhabarkan kontrak baharu itu mempunyai klausa pelepasan sebanyak 1 bilion euro (RM5.04 bilion).
Pengumuman itu dibuat dua hari selepas rakan senegaranya dari Brazil, Vinicius Jr melanjutkan kontraknya di Real hingga 2027.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!