Banding harga ayam guna 'price catcher'
JOHOR BAHRU - Pengguna perlu bijak membuat penilaian harga dengan menggunakan aplikasi 'price catcher' sebelum membeli ayam.
Yang Dipertua Majlis Tindakan Pengguna Negara (MTPN) Johor, Noorman Kamsani berkata, ini bagi membolehkan pengguna mendapat harga yang memuaskan dan berpatutan.
"Pengguna kini mempunyai banyak pilihan untuk membuat pembelian ayam apabila harga ayam sudah diapungkan.
"Gunakan 'price catcher' yang disediakan dan dikawal selia Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN)," katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.
Pada 30 Oktober lalu, Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu mengumumkan kerajaan menamatkan sepenuhnya pemberian subsidi dan harga kawalan bagi ayam bermula Rabu, manakala melanjutkan pemberian subsidi dan harga kawalan telur gred A, B dan C mengikut mekanisme sedia ada.
Mohamad berkata, penamatan subsidi secara pukal itu untuk mengurangkan ketirisan subsidi yang turut dinikmati warga asing dan golongan berpendapatan tinggi.
Mengulas lanjut, Noorman berkata, pemantauan pihaknya di beberapa pasar raya di Johor mendapati ayam dijual dengan harga RM7.99 sehingga RM10.
Katanya, jika terdapat peniaga menjual harga ayam terlalu tinggi sehingga melepasi harga kawalan yang lalu, pengguna seharusnya memboikot untuk terus berbelanja di premis tersebut.
"Bagaimanapun, KPDN perlu membuat pemantauan setiap masa supaya tiada peniaga yang mengambil kesempatan mengenakan harga yang terlalu tinggi.
"Orang ramai juga boleh terus melaporkan kepada KPDN sekiranya mendapati harga jualan yang terlalu tinggi," ujar beliau.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!