JKM cari waris lelaki warga emas
GEORGE TOWN - Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Daerah Timur Laut sedang mengesan waris kepada seorang lelaki dikenali Lee Ah Beng berusia anggaran 60 tahun yang telah menjadi penghuni di sebuah institusi JKM sejak 2008.
Pegawai Penguat Kuasa Kebajikan Masyarakat Daerah Timur Laut, Md Sukri Md Eusop berkata, lelaki terbabit sebelum ini telah dirujuk oleh Jabatan Kerja Sosial Pulau Pinang pada tahun 2008 selepas menerima rawatan di hospital berkenaan tanpa sebarang dokumen.
Menurutnya, individu berkenaan gagal untuk memaklumkan secara jelas berkaitan warisnya.
"Pihak JKM juga telah membuat carian cap jari dengan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN), namun mendapati tiada rekod sepadan dijumpai bagi mengesahkan identiti penama," katanya dalam kenyataan di sini pada Jumaat.
Md Sukri berkata, orang ramai atau waris yang mempunyai maklumat mengenai individu terbabit diharap menghubungi Unit Penguatkuasaan Pejabat Kebajikan Masyarakat Daerah Timur Laut di talian 04-2264531 atau 04-2277413 dengan kadar segera.
Jelasnya, ia bertujuan untuk membantu perihal penempatan dan penjagaan penama selanjutnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!