31 kawasan berdepan ancaman tanah runtuh

JMG mengeluarkan panduan mengenalpasti tanda-tanda awal tanah runtuh.
JMG mengeluarkan panduan mengenalpasti tanda-tanda awal tanah runtuh.
A
A
A

SHAH ALAM - Sebanyak 31 kawasan panas (hotspot) dikenalpasti berdepan ancaman tanah runtuh di seluruh negara.

Jabatan Mineral dan Geosains Malaysia (JMG) memaklumkan, antara kawasan yang terlibat adalah sekitar Lembah Klang, Tanjung Bungah dan Paya Terubong di Pulau Pinang, Ipoh dan Cameron Highlands (Perak), Kundasang (Sabah) dan Bau (Sarawak).

Menurut JMG, pihaknya telah melaksanakan pemantauan terhadap 254 cerun kritikal sebagai tindakan kesiapsiagaan menghadapi bencana geologi tanah runtuh menjelang Monsun Timur Laut (MTL) yang dijangka bermula bulan ini.

“Sejumlah 104 lokasi cerun telah diklasifikasikan sebagai cerun kritikal tahap tinggi manakala 97 cerun kritikal sederhana dan 53 lokasi cerun kritikal rendah.

“Berdasarkan pemantauan, sejumlah 37 cerun telah diambil tindakan mitigasi manakala 15 cerun sedang dalam tindakan dan 202 cerun dalam perhatian untuk tindakan selanjutnya.

“Sebarang maklumat hasil pemantauan cerun kritikal telah dibuat kepada agensi berkepentingan bagi tindakan susulan,” katanya menerusi kenyataan pada Jumaat.

JMG turut memaklumkan, pihaknya juga telah menjalankan pemetaan di tujuh lokasi Taman Eko Rimba (TER) yang berpotensi berlaku bencana geologi aliran puing iaitu di TER Lata Iskandar (Perak); TER Sungai Tua (Selangor); TER Jeram Toi (Negeri Sembilan); TER Chamang (Pahang); TER Lata Payung, TER Chemerong dan TER Air Menderu (Terengganu).

Menurut agensi di bawah Kementerian Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim itu, laporan pemetaan merangkumi Peta Pengurusan Bencana Geologi serta cadangan mitigasi dan pemasangan sistem amaran awal aliran puing disediakan oleh pihak berkepentingan.

Artikel Berkaitan:

“JMG menasihatkan orang ramai yang berada di lokasi berisiko seperti kawasan yang pernah mengalami tanah runtuh supaya peka dengan keadaan sekeliling seperti berlakunya runtuhan atau pergerakan kecil cerun tanah, retakan atau rekahan pada dinding, tembok atau tiang rumah serta kesan-kesan bonggol, rekahan atau mendapan pada jalan dan pokok-pokok yang berterusan condong.

“Sekiranya terdapat tanda-tanda berlakunya ancaman tanah runtuh, sila hubungi JMG atau pihak berkuasa yang berkaitan untuk memberi maklumat atau mendapatkan bantuan,” katanya.

Maklumat lanjut serta aduan kepada JMG boleh dilakukan kepada ‘Person In Charge’ (PIC) bagi pelaporan tanah runtuh di pautan https://mygems.jmg.gov (aduan bencana).

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!