Gagasan Rakyat adakan persidangan agung tahunan pertama 13 November
KOTA KINABALU - Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) akan mengadakan persidangan agung tahunan pertama parti itu di Pusat Konvensyen Antarabangsa Kota Kinabalu (SICC) pada 13 November ini.
Presidennya Datuk Seri Hajiji Noor berkata, persidangan sehari itu akan dihadiri oleh perwakilan serta pemerhati dari 73 bahagian Gagasan Rakyat serta wakil dari Labuan.
"Kita anggarkan lebih daripada 2,000 perwakilan akan menghadiri (persidangan agung tahunan), mungkin lebih ramai lagi kalau ada pemerhati lain yang datang," katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat Ahli Majlis Tertinggi Gagasan Rakyat di sini pada Jumaat.
Hajiji yang juga Pengerusi Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dan Ketua Menteri berkata, persidangan itu melibatkan perwakilan daripada sayap Wanita, Pemuda dan Beliawanis.
Menurut Hajiji antara perkara yang akan dibahaskan sepanjang persidangan itu termasuk ucapan dasar presiden serta usul pindaan perlembagaan parti berkenaan.
Sementara itu, Hajiji berkata, setakat ini Gagasan Rakyat mempunyai lebih 200,000 ahli dan menyasarkan keahlian parti itu mencecah 300,000 orang menjelang Disember ini.
Pada 5 Februari lepas, dalam Mesyuarat Agung Khas (EGM) parti itu, Hajiji dipilih secara rasmi sebagai Presiden Gagasan Rakyat. - Bernama.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!