PN dakwa wujud pihak tertentu tawar projek kepada MP pembangkang

Hamzah Zainudin
Hamzah Zainudin
A
A
A

KUALA LUMPUR - Perikatan Nasional (PN) mendakwa beberapa ahli Parlimen pembangkang ditawarkan projek dan jawatan dalam syarikat berkaitan kerajaan (GLC) oleh pihak tertentu.

Setiausaha Agung PN, Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata, beberapa ahli Parlimen mendakwa menerima tawaran projek dan jawatan GLC menerusi beberapa kaedah termasuk panggilan telefon, WhatsApp dan e-mel.

“Saya nak beri contoh ada seseorang itu telefon ahli Parlimen kita...ramai dalam kalangan kami ditawarkan projek hotel dan sebagainya antaranya ialah Kubang Pasu dan Besut.

“Inilah modus operandi dilakukan, bukan hanya dua orang tetapi ramai, mula-mula dia kata nak jumpa tetapi bila berjumpa bukan cerita pasal hotel, cerita lain pula.

“Masuk bab, kalau sertai (mereka) akan jadi ahli lembaga GLC, jawatan timbalan menteri dan sebagainya.

“Kalau tak tanya (media) tadi, kita tak nak cakap sebab kita sudah bincang sesama kita biarlah seorang itu menjaga maruah diri, tak perlu kita bincangkan perkara ini,” katanya pada sidang akhbar PN di ibu pejabat PN di Sri Hartamas pada Jumaat.

Sementara itu, Hamzah berkata, selepas Ahli Parlimen Kuala Kangsar, Datuk Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid dan Ahli Parlimen Labuan, Datuk Suhaili Abdul Rahman mengisytiharkan sokongan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, tiada lagi ahli Parlimen pembangkang dijangka menarik sokongan terhadap PN.

“Dalam perbincangan kita dua malam lepas, tiada pun mengatakan tarik sokongan, jadi tiada lagi, hanya mereka yang bermasalah.

“Saya nak tambah bila seseorang ada masalah dengan isu agensi tertentu mereka gunakan ini sebagai senjata,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu Setiausaha Agung Pas, Datuk Takiyuddin Hassan menafikan pihaknya melakukan rundingan untuk menyertai Kerajaan Perpaduan.

“Saya menafikan Pas ada membuat rundingan untuk menyertai Kerajaan Perpaduan,” katanya mengulas pendedahan wawancana Anwar bersama majalah Time berhubung tawaran kepada Pas untuk menyertai Kerajaan Perpaduan.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!