Kes saman Tun M, Ahmad Zahid isu 'Kutty' Februari tahun depan
KUALA LUMPUR - Perbicaraan kes saman fitnah Tun Dr Mahathir Mohamad terhadap Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang dijadualkan bermula 11 September lalu ditangguhkan ke 13 Februari tahun depan.
Saman fitnah itu difailkan Dr Mahathir terhadap Presiden UMNO itu kerana mempersoalkan asal usul bekas Ahli Parlimen Langkawi ini pada 2017.
Dr Mahathir, 97, yang juga bekas Pengerusi Bersatu selaku plaintif memfailkan saman itu menerusi Tetuan Haidir & Co di Mahkamah Tinggi di sini pada 20 Julai lalu dengan menamakan Ahmad Zahid, 69, sebagai defendan.
Berdasarkan pernyataan tuntutan, Dr Mahathir berkata, defendan mengeluarkan kenyataan palsu, berbaur fitnah dan berniat jahat dengan sengaja merujuk terus kepada plaintif ketika Mesyuarat UMNO Bahagian Kelana Jaya pada 30 Julai 2017.
Plaintif percaya, individu yang dirujuk dalam kenyataan fitnah iaitu 'orang', 'dia' dan 'Mahathir anak lelaki Iskandar Kutty' jelas merujuk kepadanya secara spesifik.
Sementara itu, bagi bicara kes saman Ahmad Zahid terhadap Dr Mahathir pula, yang dijadualkan Isnin depan, ditangguhkan ke satu tarikh yang belum ditetapkan.
Saman itu berhubung dakwaan Ahmad Zahid menggunakan kedudukan bagi mempengaruhi bekas Perdana Menteri itu untuk mencampuri urusan perbicaraan kes jenayahnya di mahkamah.
Peguam, Mior Nor Haidir Suhaimi yang mewakili Dr Mahathir mengesahkan perubahan tarikh bicara itu.
Pada 20 April tahun lalu, Ahmad Zahid memfailkan saman fitnah dengan mendakwa Dr Mahathir memfitnahnya pada Majlis Pelancaran Aspirasi Parti Pejuang (Pejuang) sempena Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor ke-15 di Yayasan Kepimpinan Perdana, Putrajaya pada 23 Februari 2022.
Ahmad Zahid mendakwa, pemimpin veteran itu memfitnah bahawa beliau pernah hadir di rumah Dr Mahathir bersama beberapa individu lain bagi mendapatkan bantuan untuk menyelesaikan kes mahkamah yang dihadapinya.
Ahli Parlimen Bagan Datuk itu mendakwa kenyataan fitnah itu antaranya membawa maksud bahawa beliau seorang yang menggunakan jalan pintas untuk menyelesaikan dan menangguhkan perbicaraan kes jenayahnya yang masih berjalan.
Ahmad Zahid juga berkata, ia juga bermaksud beliau menggunakan kedudukannya untuk mempengaruhi Dr Mahathir bagi mencampuri urusan perbicaraan jenayah dan siasatan yang dijalankan oleh agensi penguatkuasaan terhadapnya.
Dr Mahathir pada 17 Mei tahun lalu menafikan memfitnah Zahid dalam penyataan pembelaan terhadap saman itu dan mendakwa pemimpin UMNO itu menemuinya sebanyak lima kali antara tahun 2018 hingga 2020.
Dalam pertemuan itu, katanya, Ahmad Zahid menyuarakan kebimbangan berhubung kes mahkamah yang dihadapinya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!