'Tamatkan perang, kami tak mahu sambut Hari Nakba' - Duta Palestin

Walid (tengah) dalam sidang akhbar di pejabat Kedutaan Palestin, Kuala Lumpur pada Jumaat.
Walid (tengah) dalam sidang akhbar di pejabat Kedutaan Palestin, Kuala Lumpur pada Jumaat.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Pertubuhan antarabangsa perlu bertindak segera membantu menamatkan krisis kemanusiaan dan peperangan yang mengorbankan ribuan nyawa kanak-kanak termasuk wanita.

Duta Palestin di Malaysia, Walid Abu Ali berkata, keadaan getir yang dihadapi oleh penduduk di Gaza, dan Jabalia terus meruncing sehingga sukar mendapatkan bekalan air bersih termasuk makanan dan bantuan perubatan.

Menurutnya, usaha tentera Zionis yang masih melakukan serangan agresif tanpa henti adalah sebagai usaha mengusir penduduk Palestin daripada tanah milik mereka.

“Peperangan perlu dihentikan segera. Kami tidak mahu sambut Hari Nakba (malapetaka) baharu apabila Israel terus melakukan pembunuhan di Gaza atau Jurusalem.

“Rakyat di Gaza menderita tanpa air minuman, kekurangan makanan dan bahan api sehingga melumpuhkan fasiliti kesihatan.

“Kami mengharapkan bantuan rapi dapat disalurkan segera bagi menghentikan penderitaan rakyat Palestin,” katanya kepada pemberita dalam sidang akhbar di pejabat Kedutaan Palestin di sini pada Jumaat.

Pada Khamis, media antarabangsa melaporkan, dalam tempoh kurang daripada 24 jam, jumlah mangsa akibat serangan udara tentera rejim Zionis Israel ke atas kem pelarian Jabalia mencecah lebih 1,000 orang, menurut laporan terbaharu Pejabat Media Kerajaan Gaza.

Angka ini termasuk 195 mangsa yang disahkan maut, 120 yang masih hilang dan sekurang-kurangnya 777 yang lain cedera.

Artikel Berkaitan:

Mengulas lanjut, Walid berkata, pertubuhan dunia perlu membantu mereka mendapatkan keadilan dan mencapai kata sepakat agar dapat menghentikan pembunuhan dan peperangan.

Ujarnya, rakyat Palestin akan terus mempertahankan tanah mereka dan tidak akan berganjak walaupun didesak atau diserang rejim tersebut.

“Kami berterima kasih kepada negara jiran seperti Jordan dan Mesir kerana mereka menunjukkan kesungguhan menolak rancangan Israel yang memindahkan rakyat Palestin.

“Komuniti global perlu memainkan peranan menyelesaikan konflik ini dan kami hanya mahukan kebebasan serta keamanan,” katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!