Penghantaran pertama bantuan kemanusian untuk Palestin berlepas hari ini
SEPANG - Penghantaran bantuan kemanusiaan pertama Malaysia untuk rakyat Palestin melibatkan pelbagai barangan keperluan seberat 20 tan berlepas ke Lapangan Terbang Antarabangsa Al-Arish, Mesir menerusi penerbangan pesawat kargo khas malam ini.
Pesawat kargo itu berlepas kira-kira 11.30 malam dari Terminal Kargo, Lapangan Terbang Kuala Lumpur (KLIA) dan barangan bantuan kemanusiaan itu kemudiannya akan diserahkan kepada Bulan Sabit Merah Mesir sebagai rakan kerjasama bagi membawa masuk barangan itu ke Gaza melalui sempadan Rafah.
Penghantaran pertama itu adalah sebahagian daripada 50 tan barangan berjumlah lebih RM7 juta yang dikumpul melalui Ops Ihsan.
Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang menyaksikan acara pelepasan berkenaan berkata penghantaran bantuan kemanusiaan menerusi Ops Ihsan adalah bukti soladiriti rakyat Malaysia terhadap warga Palestin.
"Terima kasih diucapkan atas keprihatinan rakyat Malaysia tidak mengira agama, latar belakang politik dan ini semangat rakyat Malaysia keseluruhannya.
"Ini kita lihat soladiriti yang tidak berbelah bahagi kepada rakyat Palestin,” katanya kepada pemberita pada majlis pelepasan penghantaran bantuan kemanusiaan Ops Ihsan di Terminal Kargo, KLIA di sini.
Turut hadir Menteri Luar Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir dan timbalannya Datuk Mohamad Alamin, Duta Besar Palestin ke Malaysia Walid Abu Ali serta Duta Mesir ke Malaysia Ragai Tawfik Said Nasr.
Sebelum ini, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata Malaysia akan menumpukan kepada bantuan kemanusiaan kepada rakyat Palestin.
Pegawai berita Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) Syed Iylia Hariz Al-Qadri Syed Izman yang turut menyertai pasukan misi bantuan berkenaan berkata dia akan memberikan pelaporan berita terbaik untuk rakyat Malaysia mengikuti proses penghantaran bantuan kemanusiaan itu.
"Ini benda baharu dan kali pertama saya sertai misi kemanusiaan tetapi saya rasa syukur dapat sertai misi kemanusiaan ini dan akan berikan pelaporan terbaik,” katanya.
Pertempuran terkini di Palestin yang melibatkan Hamas, pihak berkuasa di Gaza dan rejim Israel sejak 7 Okt telah mengakibatkan kehilangan ribuan nyawa di kedua-dua belah pihak. - Bernama.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!