Pelajar tahfiz lemas ketika mandi sungai

Gambar hiasan - Foto 123RF
Gambar hiasan - Foto 123RF
A
A
A

KUALA TERENGGANU - Seorang pelajar di sebuah pusat tahfiz di daerah Marang, dekat sini, dilaporkan hilang petang tadi ketika mandi bersama tiga lagi rakannya ditemui lemas di sungai di Dataran Banggol Cempedak, di sini, malam ini.

Dalam kejadian tersebut, mangsa, Ahmad Mujahid Al-Faruqi Haimi, 15, pelajar di Sekolah Maahad Tahfiz As-Syatibi, Bukit Payong lemas manakala rakannya yang lain berjaya diselamatkan orang awam yang menyedari kejadian itu.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kuala Terengganu, Rozizah Abni Hajar berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian itu pada jam 6.03 petang sebelum menggerakkan 13 anggotanya ke lokasi bagi operasi mencari dan menyelamat.

"Mangsa dipercayai mandi di lokasi ketika menghadiri sebuah program anjuran peringkat Dewan Undangan Negeri (ADUN) Alur Limbat yang bermula semalam hingga esok, sebelum dilaporkan lemas.

"Mayat Ahmad Mujahid Al-Faruqi berjaya ditemukan pada pukul jam 9.10 malam tadi, manakala tiga lagi mangsa iaitu Mohd Abdul Rahman Mohd Soud, 15, Engku Mohamed Fakhry Engku Mohamad Anuar, 16, dan Mohamad Wafiyuddin Rosdi, 14, telah dibawa ke Hospital Sultanah Nur Zahirah untuk rawatan," katanya ketika dihubungi Bernama, malam ini.

Rozizah berkata, keadaan Mohd Abdul Rahman dilaporkan kritikal dan sedang ditidurkan manakala dua lagi yang lain berada dalam keadaan stabil.

Sementara itu, semakan Bernama di Facebook ADUN Alur Limbat, Ariffin Deraman mendapati sebuah hantaran telah dimuat naik memaklumkan pembatalan program tersebut esok atas sebab-sebab luar jangka yang tidak dapat dielakkan. - Bernama.

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!