Bila dendam menguasai diri

Win bukan sahaja perlu menyelamatkan anaknya tetapi perlu memastikan dia tidak terbunuh dalam misi itu. Kemunculan makhluk bertanduk ini menimbulkan misteri (kanan).
Win bukan sahaja perlu menyelamatkan anaknya tetapi perlu memastikan dia tidak terbunuh dalam misi itu. Kemunculan makhluk bertanduk ini menimbulkan misteri (kanan).
A
A
A

THAILAND memang tidak asing lagi dengan penghasilan filem-filem seram yang bermutu dan mendebarkan sehingga diminati oleh peminat filem seram di Malaysia.

Bagi memberi kelainan terhadap filem seram dari negara itu, M Thirty Nine Co. Ltd. dan Monwichit Entertainment tampil dengan Khong-Khaek: The Djinn’s Curse, yang akan membawa kelainan besar menerusi naskhah seram Islamik pertama negara itu.

Filem yang mencipta sejarah tersendiri apabila berjaya meraih kutipan box-office sejak ditayangkan di Thailand mulai 28 September lalu, turut meraih 3 juta tontonan menerusi akaun TikTok @sukafilem.

Khong-Khaek yang membawa maksud ilmu hitam dijayakan pelakon hebat seperti Golf-Akara Lucas, Tubtim-Anyarin Terathananpat, Mo-Amena Pinit, Marika Phraekhieocharoen, Piyarat Jatupong, ThiF Phoom-on, Sontana Chitmanee, Hakeem Dhanawicit dan Ahmad Kasemiyah Dolah.

Khong-Khaek: The Djinn’s Curse mengisahkan tentang seorang lelaki bernama Win yang berhijrah bersama keluarganya ke sebuah wilayah terpencil di Selatan Narathiwat bagi memulakan kehidupan baru.

Namun kebahagian yang dicari tidak ditemui, sebaliknya isteri dan dua anak perempuan Win mula diganggu dengan anasir misteri dan menyeramkan.

Kemuncak gangguan itu menyebabkan anak sulung Win, Meena maut dalam satu kemalangan tragis bersama ibunya, Joy.

Artikel Berkaitan:

Kemunculan wanita bernama Nasreen ini menjadi titik tolak gangguan keluarga Win.
Kemunculan wanita bernama Nasreen ini menjadi titik tolak gangguan keluarga Win.

Belum habis lelah kehilangan anak sulungnya, Win mendapat tahu anak bongsunya, Lin kini diburu jin yang dihantar merosakkan keluarga mereka.

Pengarah bijak mengunci perhatian penonton apabila memaparkan babak wanita dirasuk jin seawal babak pertama filem ini bermula.

Momen menyeramkan itu disusun sebaik mungkin dengan satu demi satu kejadian yang berlaku, walaupun ada di antaranya diwujudkan tanpa mempunyai kaitan dengan watak utama.

Penonton juga akan dihidangkan bukan sahaja dengan bahasa Thailand yang biasa kita dengari, tetapi juga dialek Thai-Kelantan yang biasa dituturkan di daerah Selatan Narathiwat.

Bagi penulis ia adalah satu kelainan yang menarik dan unik. Cuma secara peribadi, penulis merasakan pengarah filem ini, Kriangkrai Monvichit tidak menyusun jalan cerita dengan baik, sehingga ada penonton yang keliru antara teknik imbas kembali dan babak pada masa kini yang diadunkan dalam filem.

No Image Caption

Lakonan para pelakonnya pula penulis rasa biasa sahaja. Pendek kata, sebaik menonton filem ini, kita tidak akan ingat atau terbayang-bayang aksi mereka.

Secara peribadi, penulis merasakan Khong-Khaek: The Djinn’s Curse adalah sebuah naskhah yang menarik jika lebih diperkemaskan lagi jalan cerita dan lakonannya.

Jadi bagi anda yang ingin mengetahui adakah Win menyelamatkan anaknya? Siapakah sebenarnya yang berdendam dengan Win dan keluarganya? Saksikan jawapan dengan menyaksikan filem ini di pawagam.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!