EPL: Guardiola nafi lapar perhatian

Pep Guardiola, pengurus Manchester City. - Gambar fail
Pep Guardiola, pengurus Manchester City. - Gambar fail
A
A
A

PENGURUS Manchester City, Pep Guardiola, tidak akan mengubah tabiatnya ketika memberikan arahan di atas padang sejurus selepas perlawanan walaupun Roy Keane mendakwa ia semua demi perhatian.

Guardiola dilihat bercakap dengan Erling Haaland selepas kemenangan 'derby' Manchester 3-0 di Old Trafford, minggu lalu di sebalik dua gol dicetuskan menerusi pemain Norway itu.

Begitulah sikap Guardiola selama bergelar pengurus - dia turut 'berleter' kepada Haaland di Burnley pada awal musim ini dan pada 2019 telah merentap semangat Raheem Sterling ketika City meraikan kemenangan 6-0 ke atas Watford dalam final Piala FA.

Bekas kapten United, Roy Keane, berkata di Sky Sports bahawa Guardiola melakukannya demi perhatian kamera dan dia sepatutnya ke bilik persalian dan menikmati kemenangan, namun pengurus City tersebut menjelaskan ia didorong oleh sikapnya yang ingin meluahkan pendapatnya ketika itu.

“Saya sangat menghormati Roy Keane,” kata Guardiola.

“Kadang-kadang saya menamatkan permainan dan terus menuju ke terowong tetapi kadang-kadang saya kekal di atas padang. Apabila saya bertemu anak buah, kami berbual tentang permainan. Saya tahu kamera sedang merakamkan.

“Ketika itu saya berada di atas padang, mahu meraikan kemenangan bersama peminat terutama di tempat lawan. Bagi penyokong United ia adalah sebuah perlawanan penting.

“Kami berbual mengenai gol kedua, mereka ketinggalan pada minit terakhir separuh masa pertama. Haaland boleh menjadi lebih berbisa, lebih mantap.

Artikel Berkaitan:

“Tandukannya untuk jaring pertamanya patut lebih kencang. Ia pernah berlaku di Burnley.

“Mungkin ada betulnya kata Roy itu tetapi ia berlaku. Saya tidak perlu perhatian sebegitu pada umur sebegini.

“Kadang-kadang saya terus masuk ke dalam, adakalanya bertanya khabar kepada pengadil.

“Saya tidak terlintas untuk meluru ke arah pemain demi perhatian.

"Saya boleh melakukannya di dalam bilik persalinan. Saya telah melakukannya banyak kali di sana.

“Tetapi pemain memahami tindakan saya ketika itu. Ada masanya ia terus berlegar di dalam kepala.” - Astro Arena

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!