Pemilik kebun kerugian, dakwa tanah ditarah tanpa pengetahuan

Wan Udani menunjukkan keadaan tanah kebun milik keluarganya yang gondol akibat ditarah pihak lain tanpa pengetahuan mereka.
Wan Udani menunjukkan keadaan tanah kebun milik keluarganya yang gondol akibat ditarah pihak lain tanpa pengetahuan mereka.
A
A
A

KUANTAN - Seorang peniaga mendakwa keluarganya terpaksa menanggung kerugian berganda apabila tanah kebun milik mereka di Beserah di sini diceroboh dan ditarah pihak lain tanpa pengetahuan.

Wan Udani Wan Ahmad, 49, mendakwa kerja-kerja menarah tanah kebun milik bapanya itu dipercayai berlaku sejak beberapa tahun lepas, namun perkara itu hanya disedari kira-kira sebulan lalu ketika dia datang untuk kerja-kerja pembersihan kawasan.

Menurutnya, sebaik tiba dia mendapati sebahagian kawasan kebun (berbukit) telah gondol dan ditarah hingga rata.

Keadaan sebahagian tanah kebun milik keluarga Wan Udani yang dahulunya dipenuhi pelbagai jenis pokok kini gondol dan tidak lagi sesuai untuk ditanam semula.
Keadaan sebahagian tanah kebun milik keluarga Wan Udani yang dahulunya dipenuhi pelbagai jenis pokok kini gondol dan tidak lagi sesuai untuk ditanam semula.

"Kira-kira 0.4 hektar daripada dua hektar keluasan keseluruhan kebun itu telah ditarah dan tanahnya dipercayai telah diangkut keluar untuk kerja tapak projek pembinaan di tempat lain.

"Ekoran itu, banyak pokok buah-buahan termasuk pokok durian hijau (durian Beserah) turut musnah," katanya.

Wan Udani berkata, keluarganya mengalami kerugian berganda apabila bukan sahaja kehilangan hasil ekoran kemusnahan pokok buahan sedia ada malah kawasan kebun yang terjejas itu juga tidak lagi sesuai untuk ditanam semula.

"Berdasarkan anggaran kasar, kira-kira 40 anak pokok durian boleh ditanam di kawasan itu jika tanahnya tidak ditarah.

Artikel Berkaitan:

"Sekarang kawasan itu sudah gondol dan tanahnya tidak lagi sesuai untuk ditanam pokok durian atau pokok-pokok lain," katanya.

Wan Udani menunjukkan kedudukan kebun milik keluarganya di Beserah yang diceroboh dan ditarah pihak lain tanpa pengentahuannya.
Wan Udani menunjukkan kedudukan kebun milik keluarganya di Beserah yang diceroboh dan ditarah pihak lain tanpa pengentahuannya.

Menurutnya, walaupun tiada bukti pihak yang bertanggungjawab, namun terdapat kesan kerja-kerja mengorek dan mengangkut tanah dijalankan di tanah bersebelahan.

"Kerja-kerja mengambil tanah di kawasan itu dipercayai telah dijalankan beberapa tahun lalu dan besar berkemungkinan tanah keluarga saya juga telah ditarah dan diangkut keluar pihak sama.

"Saya tidak pasti sama ada mereka tersalah tarah atau memang disengajakan untuk mengaut keuntungan," katanya.

Wan Udani berkata, kejadian itu tidak sepatutnya berlaku kerana pihak terlibat perlu meneliti dan membuat semakan pelan kawasan sebelum sebarang kerja tanah dijalankan.

"Berdasarkan keadaan di lokasi, berkemungkinan tanah keluarga saya awalnya diceroboh untuk laluan jentera ke tanah bersebelahan.

Kedudukan kebun milik keluarga Wan Udani (bertanda merah) di Beserah yang sebahagiannya telah diceroboh dan ditarah pihak lain tanpa pengentahuannya.
Kedudukan kebun milik keluarga Wan Udani (bertanda merah) di Beserah yang sebahagiannya telah diceroboh dan ditarah pihak lain tanpa pengentahuannya.

"Mungkin melihat kebun itu agak tidak terurus, mereka ambil kesempatan tarah bukit dan tanahnya diangkut keluar sekali," jelasnya.

Menurutnya, berdasarkan keluasan tanah itu, pihak terlibat mungkin telah mengaut keuntungan besar hasil tanah yang diangkut keluar.

"Mereka dapat untung sedangkan pemilik terpaksa menanggung kerugian akibat kerosakan tanaman dan penyusutan keluasan serta kualiti tanah.

"Disebabkan kejadian ini, hasrat kami untuk melakukan kerja-kerja penanaman semula pokok durian di kawasan itu telah terbantut," ujarnya.

Wan Udani berkata, laporan polis telah dibuat, namun setakat ini mereka tiada bukti kukuh berhubung pihak yang terlibat memandangkan kejadian sudah lama berlaku.

"Laporan juga telah dibuat kepada agensi berkaitan namun dimaklumkan tanah persendirian di luar bidang kuasa mereka," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!