Puluhan maut, Israel bom sekolah di Gaza
GAZA - Tentera penceroboh Israel pada Jumaat malam mengebom sebuah sekolah Agensi Bantuan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu untuk Pelarian Palestin (UNRWA) di kawasan al-Saftawy, utara Semenanjung Gaza.
Kemudahan itu menjadi tempat perlindungan ribuan penduduk Palestin yang hilang tempat tinggal akibat konflik di Gaza.
Agensi Berita Palestin (WAFA) melaporkan pesawat pejuang Israel mengebom Osama Bin Zaid School, membunuh dan mencederakan berpuluh-puluh orang.
Rakaman video dan foto menunjukkan mayat-mayat mangsa berkecai akibat serangan udara itu.
Menurut beberapa sumber tempatan, tentera Israel secara langsung menyasarkan sekolah itu, ketika ribuan orang berada di dalam bangunan berkenaan.
Palang merah kutuk serangan ambulans di Gaza
Sementara itu di ANKARA, Persekutuan Antarabangsa Persatuan Palang Merah dan Bulan Sabit Merah (IFRC) pada Jumaat kesal dengan serangan ke atas ambulans di Semenanjung Gaza.
Presidennya, Francesco Rocca menerusi hantaran di X berkata, gambar-gambar serangan ngeri dan mengejutkan ke atas pesakit dan ambulans berhampiran Hospital Al-Shifa di Gaza mengingatkannya akan pengeboman pasar Markale di Sarajevo, lapor Agensi Anadolu.
"Pemandangan ini tidak boleh diterima! Orang awam, ambulans, doktor, hospital mesti dilindungi. Sentiasa,” tegas beliau.
Sebanyak 13 penduduk Palestin terbunuh manakala 26 lagi cedera dalam pengeboman Israel pada Jumaat yang menyasarkan ambulans di hadapan Hospital Al-Shifa di Gaza City, menurut Kementerian Kesihatan di wilayah itu.
Tentera Israel telah perluaskan serangan udara dan darat ke atas Semenanjung Gaza, mengakibatkan kematian sekurang-kurangnya 9,240 penduduk Palestin. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!