PRK Jepak: Busana Melanau Johanna curi perhatian
BINTULU - Johanna Mohd Amin @ Yeo, 47, merupakan antara pengundi yang mencuri perhatian pada hari pengundian Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Jepak pada Sabtu.
Dengan mengenakan busana tradisional kaum Melanau, beliau yang bertugas di Universiti Putra Malaysia (UPM) Kampus Bintulu dan pada masa yang sama menyambung pengajian di situ, terus menjadi tumpuan sewaktu tiba di pusat mengundi Sekolah Kebangsaan (SK) Kampung Jepak di sini, kira-kira 10 pagi.
"Sebenarnya saya mengenakan pakaian ini bukannya untuk turun mengundi sahaja, sebab selepas ini saya kena bergegas ke kampus untuk menghadiri konvokesyen pula,” katanya kepada Bernama.
Dalam pertemuan tergesa-gesa itu, beliau tidak sempat berbual panjang untuk memaklumkan bidang pengajian beliau.
Sultan Selangor yang juga Tuanku Canselor UPM, Sultan Sharafuddin Idris Shah berkenan untuk menghadiri dan mengurniakan ijazah pada konvokesyen itu.
Pasangan warga emas Abbas Sulak, 71, dan isterinya Ross Dolgapar, 78, turut menjadi perhatian apabila kedua-duanya tiba di pusat pengundian SK Kampung Jepak.
Abbas tiba dengan menyorong kerusi roda yang diduduki isterinya dan bersemangat sekali memberitahu Bernama, bahawa mereka berdua tidak pernah melepaskan peluang untuk mengundi dari sejak mencecah usia 21 tahun.
"Saya tak dapat kira lagilah berapa kali sudah kami berdua turun mengundi, tapi saya harap dapat terus menunaikan tanggungjawab ini selagi mampu,” katanya.
Seramai 5,446 pengundi berdaftar untuk mengundi di pusat mengundi SK Kampung Jepak dan merupakan jumlah pengundi terbesar dalam DUN Jepak.
PRK Jepak diadakan susulan kematian penyandangnya untuk hampir enam penggal Allahyarham Datuk Talib Zulpilip pada 15 September lepas. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!