Korea Utara sedia 'hadiah Krismas’ buat AS
PYONGYANG - Korea Utara kembali mencetuskan provokasi apabila ia berjanji untuk menghantar ‘hadiah Krismas’ kepada Amerika Syarikat (AS), satu amaran yang mendapat perhatian pegawai di Washington dan Seoul pada minggu ini.
Ancaman baharu itu turut menyebabkan pelbagai spekulasi tentang hadiah Hari Natal tersebut.
Komander Angkatan Udara Pasifik AS, Jeneral Charles Brown menjangkakan hadiah yang dimaksudkan oleh pemimpin Pyongyang, Kim Jong-un itu mungkin ujian peluru berpandu jarak jauh yang akan dilancarkan buat pertama kali dalam tempoh lebih dua tahun.
Ia sekali gus melanggar perjanjian dicapai bersama Presiden Donald Trump di Singapura pada tahun lalu.
Imej satelit baharu juga menunjukkan terdapat aktiviti di kemudahan di Korea Utara yang menghasilkan peralatan ketenteraan untuk pelancaran misil jarak jauh.
Ancaman yang semakin meningkat itu menyebabkan Pentadbiran Penerbangan Persekutuan AS (FAA) turut mengeluarkan amaran pada awal bulan lalu mengenai pelancaran peluru berpandu terbabit pada akhir bulan ini atau awal 2020.
“Kini, ia bergantung kepada pilihan AS. Hadiah Krismas apa yang mereka mahu,” kata Timbalan Menteri Hal Ehwal Luar Pyongyang menerusi kenyataan pada 3 Disember lalu.
Difahamkan, ‘pilihan’ yang disebut Korea Utara adalah AS membuat keputusan menamatkan ‘dasar permusuhan’ yang menuntut Pyongyang melucutkan senjata nuklear dan sekatan berterusan ke atas mereka.
April lalu, Jong-un turut memberi tempoh sehingga akhir 2019 kepada Presiden AS, Donald Trump untuk menjadi lebih fleksibel dan mengambil pendekatan baharu dalam rundingan yang tertangguh sejak pertemuan di Hanoi pada Februari lalu. - Agensi
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!