'Imej mayat berselerak di luar hospital sangat mengerikan'
GAZA - Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Antonio Guterres meluahkan rasa terkejut dan kesal dengan serangan tentera Israel ke atas konvoi ambulans di Gaza pada Jumaat, katanya dalam satu kenyataan.
“Saya terkejut dengan serangan yang dilaporkan di Gaza terhadap konvoi ambulans di luar Hospital Al-Shifa.
"Imej mayat yang berselerak di jalanan di luar hospital sangat mengerikan," kata Guterres.
Guterres menambah bahawa konflik tersebut mesti dihentikan.
"Undang-undang kemanusiaan antarabangsa mesti dihormati.
"Orang awam dan infrastruktur awam, termasuk pekerja kemanusiaan dan perubatan mesti dilindungi.
"Orang awam juga tidak boleh digunakan sebagai perisai," kata Guterres.
Serangan udara Israel ke atas konvoi ambulans berhampiran Hospital al-Shifa di Semenanjung Gaza mengorbankan 15 orang dan mencederakan 60 yang lain.
Konvoi ambulans sedang membawa pesakit yang cedera parah dari Hospital Al-Shifa ke sempadan Rafah.dengan Mesir apabila ia menjadi sasaran dalam serangan Israel, kata Ashraf al-Qudra, jurucakap Kementerian Kesihatan di Gaza.
Persatuan Bulan Sabit Merah Palestin (PRCS) berkata salah sebuah ambulansnya berada dalam konvoi tetapi tiada anggota pasukannya cedera dalam serangan itu.
Israel mengaku bertanggungjawab serang ambulans
Israel mengaku bertanggungjawab atas serangan di luar Hospital Al-Shifa di Kota Gaza yang mengorbankan 15 orang dan mencederakan 50 yang lain.
Beberapa video dari tempat kejadian menunjukkan puluhan mangsa berlumuran darah berhampiran ambulans yang diserang.
Dalam satu kenyataan, tentera Israel berkata ia menyasarkan ambulans itu kerana mendakwa ia digunakan oleh Hamas.
"Kami mempunyai maklumat yang menunjukkan kaedah operasi Hamas adalah dengan memindahkan pengganas dan senjata dalam ambulans," kata kenyataan itu.
Kenyataan PRCS berhubung ambulans diserang
Persatuan Bulan Sabit Merah Palestin (PRCS) mengeluarkan kenyataan lewat Jumaat dengan memberikan garis masa serangan ke atas konvoi perubatan di Bandar Gaza yang mengorbankan sekurang-kurangnya 15 orang.
Berikut kenyataan penuh PRCS:
“Sekitar jam 4.05 petang waktu tempatan (14:05 GMT), konvoi ambulans meninggalkan Hospital Al-Shifa dalam satu keputusan yang diselaraskan dengan Kementerian Kesihatan Palestin di Gaza.
Konvoi itu, yang menuju ke sempadan Rafah dengan Mesir, termasuk lima kenderaan ambulans: empat milik Kementerian Kesihatan dan satu milik PRCS.
Konvoi itu bergerak kira-kira 4 kilometer dari hospital ke jalan pantai al-Rashid, tetapi mendapati ia tidak dapat dilalui kerana batu dan sejumlah besar tembakan di kawasan itu.
Kenderaan itu kembali ke Hospital Al-Shifa.
Apabila mereka berada kira-kira satu kilometer dari kemudahan itu, ambulans pertama yang mengetuai konvoi - milik Kementerian Kesihatan - telah dibom.
Kenderaan lain terus menuju ke hospital.
Sebaik sahaja ambulans pertama tiba di pintu pagar Hospital Al-Shifa, bahagian hadapan kenderaan itu dibom.
Serangan itu membunuh 15 orang dan mencederakan berpuluh-puluh lagi.
Warga Gaza hidup dengan dua keping roti sehari - Pegawai PBB
Pegawai bantuan tertinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu untuk pelarian Palestin di Gaza Thomas White memberikan penilaian yang mendalam tentang keadaan bekalan air dan makanan di kawasan yang dikepung itu.
White berkata, dalam taklimat video kepada diplomat bahawa rata-rata penduduk di Gaza hidup dengan dua keping roti Arab sehari dan semakin terdesak untuk mendapatkan air, menurut Associated Press.
Tambahnya, Agensi Bantuan dan Kerja Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian Palestin menyokong kira-kira 89 kedai roti di Gaza, tetapi kini orang ramai tidak lagi mencari roti, mereka mencari air.
White juga berkata, berdasarkan perjalanannya ke seluruh Gaza dalam beberapa minggu kebelakangan ini, kawasan itu telah menjadi lokasi kematian dan kemusnahan.
Pemimpin Hizbullah seru gencatan senjata di Gaza
Pemimpin Hizbullah, Hassan Nasrallah, dalam ucapannya pada Jumaat menyeru agar orang ramai berusaha siang dan malam untuk mencapai gencatan senjata di Gaza.
Nasrallah berkata, itu adalah 'matlamat utama' Hizbullah, dan menambah bahawa matlamat kedua kumpulan separa tentera Lubnan yang disokong Iran itu adalah agar Hamas mencapai kemenangan di Gaza.
Beliau juga menggambarkan perang ini sebagai satu 'titik tolak.'
"Kemenangan Gaza bermakna kemenangan untuk Palestin, untuk Baitulmaqdis, untuk Aqsa dan Makam Suci dan semua negara jiran," kata Nasrallah. - Awani
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!