Penyakit genetik bukan penghalang jadi juara larian

Kamal Nazrin muncul juara dalam acara larian 50 meter kategori PPKI. - Foto Rosli Talib
Kamal Nazrin muncul juara dalam acara larian 50 meter kategori PPKI. - Foto Rosli Talib
A
A
A

WALAUPUN menghidap penyakit genetik, tidak menghalang Kamal Nazrin Kamal Azwan, 7, untuk muncul sebagai johan acara larian 50 meter akhir Kategori Pendidikan Khas sempena Kejohanan Olahraga Tahunan Kali ke-13 Sekolah Kebangsaan Putrajaya Presint 18 (1).

Ibu kepada kanak-kanak murid tahun satu tersebut, Ruhaizah Mohamad, 37, tidak menyangka anak lelakinya mampu menjadi juara dalam acara itu.

Dia yang juga seorang penjawat awam berkata, ibu bapa perlu menyokong anak-anak istimewa dalam bidang sukan supaya dapat membina keyakinan diri sebagai asas kemahiran sosial.

“Saya tidak sangka dia menang dalam acara ini memandangkan Nazrin masih berjalan gunakan walker. Setakat ini saya lihat dia semakin aktif bergerak,” katanya kepada Sinar Harian di Stadium Mini Universiti Tenaga Nasional (Uniten) pada Sabtu.

Sementara itu, Penolong Kanan Program Pendidikan Khas Sekolah (PPKI), Ahmad Bustamam Mohd Ali berkata, acara sukan tahunan yang diadakan setiap tahun itu mampu melahirkan bakat baharu daripada pelajar kurang upaya selain mengharumkan nama sekolah.

Menurutnya, sukan menjadi platform terapi sosial murid PPKI dan berupaya mengembangkan potensi diri mereka.

“Kita mahukan murid-murid ini membina keupayaan diri dan keberanian untuk bersama-sama bersaing dengan murid biasa supaya boleh bergaul sebagai latihan terapi sosial,” ujarnya.

Dalam pada itu, Guru Besar sekolah tersebut, Che Rozi Hassan berkata, objektif acara olahraga tersebut adalah untuk membina kebersamaan setiap murid dan juga semangat perpaduan.

Artikel Berkaitan:

Jelasnya, penglibatan murid penting bagi mencungkil bakat dan memupuk nilai kerjasama dalam pasukan.

“Kita ingin cungkil bakat murid perdana dan juga PPKI untuk sama-sama menyertai aktiviti sukan supaya dapat tingkatkan keupayaan mereka bersaing secara sihat.

“Setakat ini tiada murid yang ketinggalan dalam semua aktiviti sukan di sekolah. Kita mahu setiap murid sertai satu sukan,” ulasnya.

Sementara itu, Penasihat Bersama Kumpulan Karangkraf, Datuk Nasir Hamzah berkata, ibu bapa diharapkan tidak menghalang minat anak-anak dalam menyertai aktiviti sukan.

Nasir (dua dari kiri) merasmikan Kejohanan Olahraga Tahunan Kali ke-13, Sekolah Kebangsaan Putrajaya Presint 18(1) di stadium mini Uniten pada Sabtu. - Foto Rosli Talib
Nasir (dua dari kiri) merasmikan Kejohanan Olahraga Tahunan Kali ke-13, Sekolah Kebangsaan Putrajaya Presint 18(1) di stadium mini Uniten pada Sabtu. - Foto Rosli Talib

Ulasnya, setiap murid perlu seimbang dari segi intelektual dan jasmani untuk menjadi modal insan kepada negara.

“Walaupun akademik itu penting, tetapi aktiviti sukan juga harus diutamakan supaya kita dapat melahirkan pelajar yang unggul.

Nasir (tiga dari kanan) dan Che Rozi (tiga dari kiri) bergambar bersama barisan guru dan murid SK Putrajaya Presint 18 (1). - Foto Rosli Talib
Nasir (tiga dari kanan) dan Che Rozi (tiga dari kiri) bergambar bersama barisan guru dan murid SK Putrajaya Presint 18 (1). - Foto Rosli Talib

“Ibu bapa perlu memberi sokongan dan dorongan kepada anak-anak dan jangan menghalang minat mereka, sebaliknya teruskan memberi motivasi supaya terus cemerlang dalam bidang akademik dan membina kemahiran komunikasi lebih baik,” katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!