Kereta, jam tangan dan wang tunai lesap dikebas penjenayah
PUNCAK ALAM - Seorang lelaki terkejut setelah mendapati kereta selain lima utas jam tangan berjenama serta wang tunai miliknya berjumlah RM500 hilang apabila rumahnya dipecah masuk dalam kejadian di kawasan perumahan Fasa Tiga, Puncak Alam dekat sini pada Sabtu.
Mangsa, Mohamad Aris Omar, 30, berkata, dia menyedari kejadian itu ketika bangun dari tidur kira-kira jam 6.30 pagi setelah mendapati pintu belakang di bahagian dapur rumahnya terbuka.
"Saya pulang dari kerja dan sampai di rumah kira-kira jam 10 malam sebelum tidur di bahagian ruang tamu kira-kira jam 2 pagi.
"Saya tersedar setelah mendapati pintu bahagian dapur terbuka selain dompet yang saya letakkan di sebelah telah beralih kedudukan," katanya kepada Sinar Harian pada Sabtu.
Katanya, ketika kejadian dirinya tinggal berseorangan kerana isterinya pulang ke kampung.
"Saya mula mengesyaki sesuatu apabila melihat pintu dapur telah terbuka, saya terus meluru ke pintu hadapan dan mendapati kereta saya telah tiada.
"Selain kereta, lima utas jam tangan serta wang tunai sejumlah RM500 turut hilang dalam kejadian ini," katanya.
Menurutnya, kejadian itu kali pertama berlaku sepanjang tempoh setahun pasangan tersebut menetap di kawasan perumahan berkenaan.
"Bila jadi macam ini, fikirkan balik risau juga, sebab nak ikutkan pintu bahagian belakang memang saya sentiasa kunci.
"Lepas ini memang kena ambil langkah berjaga-jaga, mungkin perlu pasang kamera litar tertutup (CCTV) bagi mengelakkan perkara sebegini kemudian hari nanti," katanya.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Sungai Buloh, Superintenden Shafa’aton Abu Bakar ketika dihubungi mengesahkan pihaknya menerima laporan berkaitan kejadian.
"Siasatan awal mendapati suspek terlibat kemungkinan masuk dari bahagian belakang rumah berdasarkan kesan umpil yang ditemui.
"Siasatan lanjut masih dijalankan bagi mengesan suspek terlibat dalam kejadian ini dan siasatan dijalankan di bawah Seksyen 457 Kanun Keseksaan," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!