TMJ perkenan Harimau Malaya beraksi di Bukit Jalil
TUNKU Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim memberikan perkenan untuk aksi pertama Kumpulan D, Pusingan kedua Kelayakan Piala Dunia 2026/Piala Asia 2027 membabitkan Harimau Malaya dan Kyrgyzstan pada 16 November ini dilangsungkan di Stadium Nasional, Bukit Jalil.
Perbadanan Stadium Malaysia (PSM) dalam satu kenyataan berkata, pandangan kontraktor rumput dan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) melalui lawatan tapak telah dipersembahkan oleh Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh kepada Tunku Ismail.
"PSM menerima baik keputusan pihak FAM untuk memilih Stadium Nasional Bukit Jalil sebagai tempat bagi perlawanan pertama kumpulan D, Kelayakan Piala Dunia 2026/ Piala Asia 2027, Malaysia menentang Kyrgyzstan.
"Setelah mengambil kira pandangan kontraktor rumput dan FAM melalui lawatan tapak bersama dan keadaan padang adalah lebih baik daripada dua perlawanan sebelum ini dan sesuai untuk digunakan (playable), maklum balas ini telah dipersembahkan oleh YB Menteri Belia dan Sukan kepada DYAM Tunku Mahkota Johor.
"PSM menjunjung kasih ke bawah DYAM Tunku atas perkenan yang telah diberikan untuk perlawanan pada 16 November diteruskan di Stadium Nasional Bukit Jalil," kata kenyataan itu.
Sebelum ini, padang Stadium Nasional Bukit Jalil itu dikritik selepas mengalami kerosakan di beberapa bahagian ketika perlawanan Pestabola Merdeka yang berlangsung bulan lalu.
Ia sekali gus menimbulkan persoalan sama ada padang tersebut boleh digunakan untuk aksi menentang Kyrgyzstan itu memandangkan waktu cukup singkat untuk diperbaiki.
Tunku Ismail menjadi watak penting menaja menukar rumput jenis Zeon Zoysia di Stadium Nasional itu.
Dalam pada itu, PSM komited untuk memastikan padang SNBJ berada dalam keadaan terbaik untuk pasukan Harimau Malaya.
"Kami akan terus bekerjasama dengan pihak kontraktor padang bagi mengambil langkah-langkah yang sewajarnya," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!