NSL: Johor Jewels jumpa KL Wildcats di final

Aksi pemain Johor Jewels dan Perak Phoenix dalam aksi separuh akhir pada Sabtu.
Aksi pemain Johor Jewels dan Perak Phoenix dalam aksi separuh akhir pada Sabtu.
A
A
A

JOHOR Jewels menepati ramalan apabila berjaya melangkah ke perlawanan akhir Liga Super Bola Jaring (NSL) 2023 selepas menewaskan Perak Phoenix 53-43 pada Sabtu.

Dalam aksi di Stadium Juara, Bukit Kiara itu, Johor Jewels yang juga penyandang juara terlalu unggul apabila mendahului suku pertama dengan selesa 17-7.

Namun, Perak Phoenix cuba bangkit pada suku kedua apabila merapatkan kedudukan 22-28 sebelum Johor Jewels kembali mendapat rentak untuk menamatkan perlawanan dengan kemenangan 53-43.

Ia sekali gus menjadi pentas final ketiga berturut-turut buat pasukan tersebut dan berpeluang mempertahankan kejuaraan yang dimenangi musim lalu dalam aksi final ulangan menentang KL Wildcats pada Ahad.

Bagi pengurus Johor Jewels, Juanita Primrose berkata, Johor sudah bersedia untuk memberikan yang terbaik di final tersebut namun tidak memandang rendah kepada keupayaan lawan.

"Pemain memberikan segala-galanya dalam perlawanan separuh akhir walaupun mendapat tentangan sengit dari Perak Phoenix dan kami sudah bersedia untuk menghadapi perlawanan akhir.

"Sudah tentu Johor akan cuba yang terbaik untuk menjadi juara buat kali kedua berturut-turut," katanya kepada Sukan Sinar pada Sabtu.

Dalam satu lagi aksi separuh akhir, KL Wildcats yang juga naib juara tahun lalu berpeluh sebelum berjaya menewaskan Putrajaya Dynamites 51-50.

Artikel Berkaitan:

Putrajaya Dynamites tampil garang sebaik perlawanan bermula mendahului 25-20 berakhir saingan di suku kedua.

Namun, pada penghujung perlawanan KL Wildcats berjaya bangkit dengan mata demi mata untuk mengikat perlawanan sebelum menjaringkan mata penting untuk melangkah ke perlawanan akhir.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!