Kutipan zakat Pahang dijangka meningkat RM135 juta
KUANTAN - Kutipan zakat harta di Pahang dijangka meningkat kepada RM135 juta pada tahun ini berbanding RM131.5 juta pada tahun lalu.
Pengurus Besar Kanan Pusat Kutipan Zakat (PKZ) Pahang, Datuk Halidan Md Daud berkata, walaupun jumlah itu meningkat sebanyak 2.7 peratus, namun jumlah itu masih rendah dalam kesedaran menunaikan kewajipan tersebut.
"Peningkatan ini masih rendah dan ia berpunca daripada proses penguatkuasaan Enakmen Zakat yang sedang berjalan yang PKZ mengedarkan borang taksiran kepada penama yang tidak mempunyai rekod membayar zakat.
"Setakat ini, kami mengedarkan 43,000 borang taksiran namun hanya 25 peratus daripada jumlah itu yang memberi maklum balas," katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Halidan ditemui selepas Majlis Serahan Zakat Perniagaan dan Penyampaian Bantuan Zakat Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang (MUIP) dengan kerjasama pemegang konsesi Lebuhraya Pantai Timur dan Lebuhraya Kuala Lumpur-Karak ANIH Berhad di sini hari ini.
Beliau juga memaklumkan setakat semalam, kutipan zakat harta di Pahang adalah RM118 juta dengan PKZ mengenal pasti sekurang-kurangnya RM15 juta akan diterima menerusi potongan gaji dan beberapa badan korporat menjelang hujung tahun ini.
Mengulas mengenai majlis itu, Halidan berkata, 15 badan korporat menyerahkan zakat perniagaan mereka dengan jumlah keseluruhan RM2.54 juta dengan ANIH Berhad menyumbang zakat tertinggi sebanyak RM1 juta diikuti Alam Flora Sdn Bhd (RM500,000) dan QSR Holdings Berhad (RM328,948).
Halidan juga memaklumkan PKZ telah mengagihkan zakat RM138 juta kepada golongan asnaf yang berhak menerimanya setakat semalam, termasuk RM44 juta kepada fakir miskin di Pahang dalam pelbagai bentuk seperti bantuan sara hidup, kemudahan asas, pendidikan, kesihatan dan bantuan modal.
Sementara itu, ANIH Berhad menerusi kenyataan medianya memaklumkan, bantuan zakat dengan kerjasama MUIP melibatkan sumbangan sebanyak RM724,000 yang daripada jumlah itu, RM570,000 akan diagihkan kepada 13 masjid dan institusi pendidikan terpilih di Pahang.
Sejumlah RM84,000 pula diperuntukkan kepada 11 usahawan asnaf yang terlibat dalam industri kecil dan sederhana (IKS), pemberian bantuan perubatan kepada enam asnaf (RM30,000), bantuan persekolahan kepada 200 pelajar asnaf (RM20,000) dan penerima asnaf lain yang akan ditentukan PKZ (RM20,000).- Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!