Gaduh ketika mabuk, lelaki Myanmar maut ditikam rakan

No Image Caption
A
A
A

KAJANG - Gara-gara mabuk, seorang lelaki warga Myanmar maut ditikam rakannya dalam pergaduhan di sebuah kilang perabot di Kawasan Perindustrian Semenyih berdekatan Sungai Lalang dekat sini pada Khamis.

Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Mohd Zaid Hassan berkata, kejadian sebelum itu dimaklumkan pemilik kilang terbabit yang menyatakan mangsa ditemukan dalam keadaan tidak sedarkan diri di lokasi kejadian kira-kira jam 1.42 pagi.

"Mangsa berumur 23 tahun itu kemudiannya didapati telah meninggal dunia oleh petugas Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

"Hasil siasatan dan pemeriksaan polis menemui kesan luka seperti tikaman benda tajam di sebelah kiri perut badan mangsa," katanya menerusi kenyataan pada Sabtu.

Katanya, siasatan lanjut berdasarkan keterangan saksi mendapati mangsa bersama dua rakannya sedang berehat sambil minum arak di kawasan kilang terbabit sebelum kejadian.

"Siasatan mendapati berlaku pergaduhan antara mangsa dan suspek terlibat sehingga mengakibatkan mangsa ditikam.

"Dua rakan suspek yang dipercayai terlibat dalam kejadian kemudiannya bertindak melarikan diri meninggalkan mangsa," katanya.

Menurutnya, susulan kejadian dua lelaki warga Myanmar diberkas di sekitar kawasan Sungai Buloh dalam operasi yang dijalankan jam 12.35 pagi pada Sabtu.

Artikel Berkaitan:

"Kedua-dua suspek masing-masing berumur 24 dan 28 tahun itu diberkas bersama dua bilah pisau dipercayai digunakan dalam pergaduhan berkenaan.

"Mereka direman tujuh hari untuk siasatan lanjut di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!