China pelawa rakyat Malaysia lawat Xinjiang lihat situasi sebenar

Foto: Sumber Internet
Foto: Sumber Internet
A
A
A

SHAH ALAM - Kedutaan China di Malaysia menegaskan berita yang dilaporkan berlaku terhadap etnik minoriti Muslim, Uyghur di Xinjiang yang dikatakan ditempatkan di kem tahanan sebagai palsu, tidak bertanggungjawab dan tidak berasas.

Kedutaan itu dalam kenyataan berkata, kerajaan China sentiasa terbuka kepada cadangan dan kritikan membina.

“Bagaimanapun, kami tidak akan menerima sebarang tuduhan tidak bertanggungjawab dan tidak berasas iaitu dengan berdasarkan kepalsuan.

“Sepanjang beberapa minggu lalu, media sosial di Malaysia telah dibanjiri dengan berita palsu berkaitan dengan Xinjiang.

“Ini mengingatkan kami kepada pepatah Cina bahawa ‘tiga pembohong menjadi harimau’ yang bermaksud jika berita tidak benar diulangi seribu kali, terdapat sesetengah orang yang mempercayainya. Ini amat menyedihkan, namun ia terus berlaku, “ kata jurucakap kedutaan itu, Tang Tang di sini semalam.

Sehubungan itu, Tang Tang berkata, semua rakyat Malaysia dipelawa untuk melawat Xinjiang bagi melihat situasi berlaku di wilayah itu.

“Xinjiang merupakan satu kawasan cantik dan aman sekali gus menjadi destinasi pengembaraan terbaik untuk rakyat Malaysia khususnya umat Islam. Malah tiada halangan untuk warga asing melawat wilayah ini.

“Jika ada rakyat Malaysia yang berminat, anda amat dialu-alukan untuk melihat Xinjiang dengan mata anda sendiri,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Hari ini, sekumpulan 58 badan bukan kerajaan (NGO) cuba menyerahkan satu memorandum berhubung nasib menimpa etnik Uyghur kepada kerajaan China menerusi pejabat kedutaan besar negara itu di Kuala Lumpur.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!