Iskandar ikrar pikul amanah pengundi Jepak
BINTULU - Iskandar Turkee berikrar akan memikul amanah diberikan pengundi kepadanya selepas memenangi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Jepak.
Iskandar, 54, yang mewakili Gabungan Parti Sarawak (GPS) itu turut menzahirkan rasa syukur atas kemenangan yang diperolehnya.
"Saya akan beri perkhidmatan terbaik dan akan memikul amanah diberikan oleh semua pengundi di bawah kawasan Jepak,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di pusat penjumlahan undi di Dewan Suarah Bintulu di sini.
GPS berjaya mengekalkan kerusi DUN Jepak apabila Iskandar diisytiharkan sebagai pemenang malam ini.
Iskandar, 54, bekas pengarah Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) cawangan Sarawak menewaskan calon Parti Bumi Kenyalang (PBK) Stevenson Joseph Sumbang dan calon Parti Aspirasi Rakyat Sarawak (Aspirasi) Chieng Lea Phing dengan majoriti 8,784 undi.
Iskandar memperoleh 9,638 undi, Stevenson 854 undi dan Chieng 431 undi. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!