Turkiye panggil pulang duta di Israel
ISTANBUL - Turkiye telah memanggil pulang dutanya di Tel Aviv untuk rundingan di tengah-tengah serangan berterusan Israel ke atas Gaza, kata Kementerian Luar pada Sabtu.
"Menyedari tragedi kemanusiaan yang sedang berlaku di Gaza akibat serangan berterusan Israel terhadap orang awam dan keengganan Israel memenuhi seruan gencatan senjata serta kemasukan bantuan kemanusiaan yang berterusan dan tanpa halangan, adalah diputuskan untuk memanggil balik Duta kita di Tel Aviv, Sakir Ozkan Torunlar, ke Ankara untuk berunding," menurut kenyataan Kementerian Luar, lapor Agensi Anadolu.
Tentera Israel telah memperhebat serangan udara dan darat ke atas Semenanjung Gaza sejak konflik tercetus pada 7 Oktober.
Sekurang-kurangnya 9,488 penduduk Palestin, termasuk 3,900 kanak-kanak telah terbunuh, menurut angka rasmi.
Bekalan asas semakin berkurangan untuk penduduk Gaza kerana kepungan Israel, di samping peningkatan besar jumlah korban dan kehilangan tempat tinggal. - Bernama/Anadolu
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!