Sabah juara sulung LWN 2023
SABAH muncul juara sulung Liga Wanita Nasional (LWN) 2023 walaupun mencatatkan keputusan seri 1-1 dengan Malaysia University Football Team (MUFT) pada aksi di Stadium Universiti Teknologi Mara (UiTM) Shah Alam pada Sabtu.
Sabah yang berkongsi 13 mata dengan Kelana United FC di kelompok kedua teratas liga bagaimanapun dinobatkan sebagai juara selepas memiliki kelebihan perbezaan jaringan berbanding Kelana United FC.
Pada perlawanan terakhir, kedua-dua pasukan menamatkan separuh masa pertama tanpa jaringan walaupun masing-masing giat melancarkan serangan ke kubu lawan.
Aksi separuh masa kedua juga hambar sehinggalah Nur Fazira Muhammad Sani meledak gol pembukaan pada minit ke-84 untuk meletakkan MUFT depan.
Tersentak dengan jaringan lawan, Sabah yang menggandakan asakan tidak perlu menunggu lama untuk menyamakan kedudukan tiga minit kemudian menerusi Siti Nur Sasha Ain Abidinsha.
Berbaki 10 minit perlawanan, suasana sedikit tegang apabila pengadil perlawanan Nurul Ain Izatty Zainal bertindak melayangkan beberapa kad kuning kepada pemain, namun berjaya dikawal sehingga perlawanan tamat dengan Sabah disahkan sebagai juara.
Sementara itu, pengendali Sabah, Justin Ganai bersyukur dengan kemenangan dan gembira anak buahnya berjaya melaksanakan strategi permainan dengan baik.
Katanya, para pemainnya bukan sahaja menggunakan taktik bertahan malah melancarkan serangan demi mencari gol sekali gus menambah mata kemenangan.
"Persembahan kedua-dua pasukan amat menarik.
"Saya nyaris kempunan (menjadi juara) setelah MUFT menjaringkan gol. Sudah saya katakan dari awal, kami tidak bertahan sahaja tetapi menyerang dan itulah berlaku (dapat gol penyamaan)," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!