Rakyat bimbang tarif air naik, terbeban dengan kos tersembunyi

Mazni Hanis, Nor Hidayah, Sharifah Amira
Mazni Hanis, Nor Hidayah, Sharifah Amira
A
A
A

SHAH ALAM - Rakyat bimbang dengan cadangan kerajaan membenarkan operator pembekal air di setiap negeri menentukan sendiri mekanisme penetapan tarif akan membebankan pengguna.

Pekerja swasta, Sharifah Amira Syed Aris, 27, berkata, sekiranya tiada penetapan mekanisme daripada pihak pembekal, cadangan itu akan menimbulkan kekeliruan dan masalah ketirisan yang akhirnya membebankan rakyat.

Menurutnya, perkhidmatan yang disediakan perlu selaras dengan harga bayaran dikenakan kepada pengguna.

“Rakyat sendiri sudah ‘pening kepala’ memikirkan masalah kos sara hidup dan cadangan ini langsung saya tidak setuju selagi tidak ada kaedah penetapan tarif daripada mana-mana pihak,” katanya kepada Sinar Ahad.

Suri rumah, Mazni Hanis Mansor, 27, berpendapat, kerajaan atau agensi perlu menyelia operator pembekal air bagi mengelak rakyat terus terbeban dengan pelbagai kos.

Ujarnya, penggunaan air setiap isi rumah adalah berbeza dan tidak adil jika terdapat pihak mengambil kesempatan di atas kelonggaran yang diberikan oleh kerajaan.

“Saya sendiri tidak dapat menjangkakan apa akan berlaku, tetapi saya kurang setuju kalau tidak ada kerja-kerja menyelia pihak pembekal air.

“Kita sendiri pun akan terbeban kalau ada kos tersembunyi sehingga bil naik mendadak,” jelasnya.

Artikel Berkaitan:

Pekerja swasta, Nor Hidayah Shukor, 27, pula berkata, tidak terbeban dengan langkah kerajaan membenarkan operasi air diselia sendiri oleh kerajaan negeri.

“Kami kurang terkesan jika tarif air berubah. Saya sendiri menggunakan air pada waktu pagi dan malam sahaja kerana bekerja. Jadi saya tiada masalah berkenaan hal ini,” katanya.

Sinar Harian sebelum ini melaporkan, pengguna berisiko terbeban susulan kenaikan kos operasi yang tidak cekap serta ketirisan oleh pihak pengendali operasi jika pelarasan tarif air dibuat tanpa mematuhi penanda aras yang ditetapkan Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN).

Pengerusi Persatuan Penyelidikan Air dan Tenaga Malaysia (AWER), S Piarapakaran berkata, penanda aras tersebut penting dalam penetapan tarif bagi memastikan syarikat operator sentiasa cekap dari segi pengurusan dan menyediakan sistem bekalan air yang lebih baik pada masa akan datang.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!