Tak risau beras habis, penduduk proses sendiri padi

Mohd Zabidi menunjukkan beras yang diproses sendiri di rumahnya di Alor Berala, Pendang.
Mohd Zabidi menunjukkan beras yang diproses sendiri di rumahnya di Alor Berala, Pendang.
A
A
A

PENDANG - Sebuah keluarga mengambil inisiatif memproses sendiri padi bagi mendapatkan bekalan beras untuk kegunaan harian mereka di Alor Berala di sini, sejak tiga tahun lepas.

Disebabkan itu, kata pesawah, Mohd Zabidi Abdullah, 57, mereka sekeluarga mendapat bekalan seperti biasa ketika penduduk bandar sukar memperoleh beras tempatan.

Menurutnya, dia bersama abang iparnya, Zainol Hassan, 71, yang menanam padi pulut sekitar 2018 telah membeli mesin memproses beras pada harga lebih kurang RM1,700 di Thailand.

"Boleh dikatakan sudah lebih kurang tiga tahun, saya memproses padi untuk menghasilkan beras untuk dimasak dan dimakan kami sekeluarga.

"Bagi kami, beras kampung diproses sendiri terasa lebih enak berbanding beras yang diproses di kilang," katanya ketika ditemui Sinar Harian.

Mohd Zabidi memberitahu, beras yang dihasilkan mempunyai kanji yang lebih banyak berbanding beras diproses di kilang.

"Jadi, makan beras proses sendiri ini terasa lebih sedap dan manis daripada beras dibeli di kedai-kedai. Rasa istimewa serta lain dari lain," katanya.

Menurut Mohd Zabidi, beras kampung yang telah diproses sendiri itu boleh digunakan serta-merta untuk dimasak nasi.

Artikel Berkaitan:

Bagaimanapun, katanya, padi yang ingin diproses sebagai beras seelok-eloknya disimpan hingga kering sepenuhnya untuk tempoh kira-kira enam bulan ataupun satu musim.

Mohd Zabidi memproses padi untuk mendapatkan beras bagi kegunaan keluarganya sejak tiga tahun lepas.
Mohd Zabidi memproses padi untuk mendapatkan beras bagi kegunaan keluarganya sejak tiga tahun lepas.

Disebabkan itu, Mohd Zabidi memberitahu, dia tidak perlu risau berdepan kesukaran mendapat bekalan beras memandangkan boleh memproses sendiri.

"Asalkan ada padi sahaja, maka boleh buat beras sendiri. Selain saya, tidak silap ada satu tempat lagi turut memproses padi untuk menghasilkan beras sendiri," katanya.

Dia turut menjelaskan, beras kampung yang diproses itu bukan untuk dijual, sebaliknya hanya untuk kegunaan keluarga dan penduduk berdekatan sahaja.

"Ada juga rakan dan jiran yang datang ke rumah untuk menggunakan mesin memproses lebihan padi mereka di rumah ini," katanya.

Jelas bapa kepada tiga cahaya mata itu, dia tidak pernah berdepan kesukaran untuk menggunakan mesin memproses beras itu setakat ini memandangkan ia mudah dan cepat.

Katanya, dia hanya mengambil masa kira-kira lima minit untuk memproses seguni padi seberat 20 kilogram (kg).

Tambahnya, mereka sekeluarga dapat berjimat banyak memandangkan beras yang diproses sendiri mencukupi untuk tempoh selama seminggu atau lebih.

"Daripada 20kg padi itu, kami boleh dapat antara 13 hingga 14kg beras, manakala selebihnya adalah beras hancur yang kemudiannya digunakan untuk membuat ikan pekasam pula," katanya.

Kongsi pesawah itu lagi, bahagian sekam padi juga tidak dibuang dan digunakan pula sebagai makanan tambahan untuk itik.

"Kiranya, semua bahagian kami boleh guna selepas proses sendiri padi," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!