Pengajaran buat MP 'kaki ponteng'

Ada dalam kalangan ahli Parlimen didakwa jarang muncul di Dewan Rakyat. Gambar fail
Ada dalam kalangan ahli Parlimen didakwa jarang muncul di Dewan Rakyat. Gambar fail
A
A
A

CADANGAN Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul untuk memaparkan nama-nama ahli Parlimen yang didapati dengan sengaja tidak hadir atau 'ponteng' sidang Dewan Rakyat dilihat langkah tepat.

Melalui pelaksanaan itu, pengundi boleh melihat dan menilai sendiri pemimpin yang dipilih apabila nama-nama yang terlibat dimuat di laman web Dewan Rakyat nanti.

Menurut Johari, ia antara beberapa penambahbaikan yang akan dilaksanakan bagi meningkatkan kehadiran ahli Parlimen dalam sidang Dewan Rakyat kerana mereka mempunyai tugas dan tanggungjawab terhadap pengundi serta kawasan Parlimen yang diwakili.

Katanya, cadangan itu akan dibincangkan oleh beliau dengan jawatankuasa Parlimen yang turut dianggotai oleh ahli-ahli Parlimen daripada pihak pembangkang dan juga kerajaan.

Pemakluman yang dibuat Johari turut mendapat reaksi positif ramai pihak memandangkan ada dalam kalangan ahli Parlimen didakwa jarang muncul di Dewan Rakyat.

Tindakan sengaja tidak hadir tanpa alasan kukuh juga disifatkan tidak bertanggungjawb serta gagal melaksanakan tugas sebagai wakil kepada rakyat di Parlimen.

Awal tahun ini, Malaysian Centre for Constitutionalism and Human Rights (MCCHR) melalui inisiatif MyMP mengeluarkan senarai lima ahli Parlimen dengan kehadiran terendah.

Badan pemerhati tersebut melakukan pemantauan terhadap kehadiran ahli Parlimen dengan mengumpulkan data awam diperolehi daripada Senarai Penyata Rasmi atau Hansard Parlimen.

Artikel Berkaitan:

Menerusi senarai itu, Ahli Parlimen Pagoh, Tan Sri Muhyiddin Yassin berada di kedudukan tercorot, diikuti Ahli Parlimen Larut, Datuk Seri Hamzah Zainuddin.

Menjadi harapan besar seluruh pengundi untuk melihat wakil rakyat yang dipilih menjalankan tanggungjawab menyuarakan isu atau masalah melibatkan kawasan mereka agar ada jalan penyelesaian.

Justeru, ahli Parlimen seharusnya memainkan peranan terbaik untuk rakyat di kawasan masing-masing dengan hadir tanpa gagal ke sidang Dewan Rakyat.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!