Doktor kayuh basikal rawat mangsa di Gaza
SITUASI yang semakin meruncing di Semenanjung Gaza susulan serangan berterusan Israel mengakibatkan banyak nyawa tidak berdosa menjadi mangsa.
Kemudahan fasiliti musnah dek kekejaman rejim Zionis.
Tetapi, Hassan Zain al Din mungkin salah satu sosok yang tidak kenal erti lelah untuk memberikan khidmatnya kepada mangsa-mangsa yang terjejas.
Doktor berusia 54 tahun itu sanggup mengayuh basikal dari satu lokasi ke lokasi demi memberikan rawatan.
Semua itu dilakukan demi nyawa yang tidak mampu dibeli dengan nilai wang.
"Kereta saya kehabisan minyak dan saya terpaksa meninggalkannya di tempat saya berteduh di Bureij.
"Saya terpaksa membeli basikal dan melakukan perjalanan sejauh 15 kilometer (km).
"Saya berulang-alik ke Pusat Penyakit Kronik di Gaza untuk memberi rawatan susulan kepada pesakit saya dan memeriksa pesakit di sekolah Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).
"Kadang kala, kami membuat lawatan rumah ke rumah melibatkan beberapa kes kecederaan yang tidak dapat ke lokasi rawatan," katanya memetik Reuters.
Ketiadaan sumber bahan api turut tidak menghalang dia untuk mengerah keringat dalam membantu pesakit yang kehilangan tempat tinggal.
Kadang kala, Hassan Zain terpaksa melalui jalan-jalan rosak dan melintasi serpihan runtuhan bangunan.
Kongsinya lagi, tiada satupun doktor di Gaza yang tidak boleh melakukan perkara yang sepertinya, walaupun berdepan banyak kekangan seperti ketiadaan elektrik.
Setakat ini, sekurang-kurangnya 9,000 rakyat Palestin, termasuk 3,542 kanak-kanak terbunuh dalam serangan Israel ke atas Gaza sejak 7 Oktober. - Agensi/ Awani
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!