Elmina Night Run capai sasaran, lebih 600 peserta
SHAH ALAM - Elmina Night Run anjuran pertubuhan bukan kerajaan (NGO), Komunikasi untuk Perubahan Tingkah Laku (COMBI) dan Kawasan Rukun Tetangga (KRT) daerah Petaling memberikan kelainan dari segi pemilihan kategori pemenang bagi meraikan semua peserta yang terlibat.
Pengerusi COMBI daerah Petaling, Ahmad Faudzi Mohd Nazam berkata, pihaknya bersetuju untuk menambah kategori pemenang setelah menerima penyertaan melebihi 500 peserta daripada sasaran awal 300 orang sahaja.
“Sasaran awal penyertaan hanya 300 peserta tetapi selepas mendapat permintaan tinggi, kami meningkatkan sasaran peserta kepada 500 tetapi malam ini sambutan sangat memberangsangkan apabila menerima lebih 600 penyertaan.
“Pada mulanya, pemenang dipilih menerusi kategori terbuka sahaja, tetapi kami menukar kepada kategori terbuka lelaki dan perempuan individu serta kategori keluarga bagi tempat pertama hingga ketiga termasuk lima hadiah saguhati,” katanya ketika ditemui selepas program Elmina Night Run pada Sabtu.
Dalam pada itu, Ahmad Faudzi mengharapkan lebih ramai pihak korporat, agensi kerajaan, NGO dan syarikat swasta tampil ke hadapan untuk bekerjasama dengan pihaknya dalam usaha memajukan komuniti setempat.
Ujarnya, program berkenaan mendapat sokongan dan kerjasama daripada Sinar Harian, Polis Diraja Malaysia (PDRM), Polis Bantuan Sime Darby Property, Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA), pasukan kesihatan dari Jabatan Kesihatan Negeri Selangor serta banyak pihak lagi.
"Saya ucapkan ribuan terima kasih kepada semua pihak yang terlibat antaranya ahli jawatan kuasa COMBI, syarikat minuman isotonik 100PLUS dan ramai lagi," jelas beliau.
Sementara itu, Ketua Pemasaran dan Penjenamaan Grup Sinar Karangkraf, Nik Justin Nik Mohd Ariffin berkata, program julung kali diadakan oleh pihak COMBI itu telah berjaya kerana mendapat sambutan yang sangat menggalakkan.
“Tahniah kepada penganjur, semua pemenang dan saya tertarik dengan keunikan kategori yang dipertandingkan iaitu kategori berkeluarga. Ia satu usaha yang sangat baik dalam menarik lebih ramai ibu bapa bersama anak-anak mereka untuk menyertai program komuniti seperti ini.
“Saya amat berbesar hati sekiranya mereka (COMBI) mahu terus berkolaborasi bersama Sinar Harian kerana kita merupakan sebuah platform media yang dekat dengan masyarakat, akan terus menyokong semua usaha dalam memperkasa dan menyatukan komuniti di Malaysia,” ujarnya.
Dalam pada itu, peserta Elmina Night Run yang juga pekerja swasta, Rosiyati Mohamad, 47, berkata, program berkenaan memberi banyak manfaat kepada masyarakat terutamanya bagi mereka yang bekerjaya kerana tidak mempunyai masa untuk melakukan aktiviti riadah.
“Program seperti ini memberi peluang kepada masyarakat yang sibuk bekerja untuk beriadah dan bersukan ketika cuti pada hujung minggu. Mereka juga boleh mengeratkan lagi hubungan silaturahim bersama rakan serta masyarakat,” katanya.
Selain itu, guru, Istiyad Fatimah Azzahra Razi, 41, berpendapat acara berkenaan menggalakkan masyarakat mengamalkan gaya hidup sihat dan meluangkan masa bersama keluarga dengan aktiviti yang berfaedah.
“Kami mengambil peluang ini bagi mengisi masa lapang dengan sertai program seperti ini, jadi saya dan suami dapat memanfaatkan masa yang ada bersama anak-anak daripada aktiviti yang tidak memberi manfaat seperti bermain gajet.
"Kalau boleh program seperti ini perlu dilakukan secara tahunan atau lebih baik lagi secara bulanan,” ujarnya.
Dalam pada itu, jurutera syarikat swasta, Ahmad Zahir Mokhtar, 56, berharap program kekeluargaan seperti itu terus diadakan dalam kawasan perumahan bagi menarik lebih ramai ibu bapa menyertainya bersama anak-anak.
“Penganjuran program dalam kawasan perumahan seperti ini sepatutnya diteruskan lagi pada masa akan datang sebab ia akan bagi peluang kepada ibu bapa yang sibuk bekerja untuk sertai aktiviti ini bersama anak mereka tanpa perlu pergi ke lokasi yang jauh seperti di ibu negara,” jelasnya.
Sementara itu, kakitangan Sinar Harian, Rosli Ahmad, 48, berkata, program tersebut merupakan satu cara untuk mempelbagaikan jenis senaman harian yang dilakukan seperti lompat tali, lari setempat dan ‘workout’.
“Acara yang dianjurkan ini bagus untuk eratkan silaturahim dalam kalangan komuniti di Elmina dan bagi saya ini salah satu cara untuk saya memvariasikan senaman yang dilakukan setiap hari,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!