Budak perempuan 12 tahun jadi hamba seks diselamatkan
KENINGAU - Kanak-kanak perempuan 12 tahun antara tiga mangsa yang diselamatkan polis selepas dipercayai dijadikan sebagai hamba seks dalam serbuan berasingan pada Khamis lalu.
Dalam serbuan itu, dua lagi mangsa lain berusia 19 dan 30 tahun manakala terdapat tiga suspek lelaki ditahan dipercayai terlibat dalam aktiviti pemerdagangan manusia tersebut.
Ketua Polis Daerah Keningau, Superintenden Yampil Anak Garai berkata, serbuan itu dilakukan oleh Cawangan D7 Jabatan Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sabah dan Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Keningau.
"Hasil siasatan awal mendapati, seorang lelaki berusia 44 tahun berperanan sebagai 'runner' dan 'transporter' untuk menghantar mangsa sekiranya ada pelanggan yang ingin melanggan.
"Dua lagi suspek berperanan untuk mencari pelanggan kepada mangsa melalui aplikasi sosial media.
"Modus operandi kesemua suspek ialah menjadikan satu kawasan sebagai transit untuk mengelak kegiatan mereka daripada dihidu oleh pihak berkuasa dan bergerak secara mobil dari satu tempat ke tempat lain iaitu menggunakan inap desa atau hotel sebagai tempat beroperasi," katanya dalam kenyataan pada Ahad.
Katanya lagi, dalam serbuan itu wang tunai bersama beberapa barangan dipercayai digunakan untuk aktiviti pelacuran turut dirampas.
"Sebanyak RM785 dan tujuh telefon bimbit pelbagai jenama dan beberapa keping kondom dirampas. Suspek direman sehingga tujuh hari untuk siasatan lanjut.
"Kes disiasat mengikut Seksyen 12/14 Akta Anti Pemerdagangan Orang (ATIPSOM) 2007," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!