24 terima darjah kebesaran, pingat negeri Perak hari ini
KUALA KANGSAR - Mufti Perak, Datuk Wan Zahidi Wan Teh mendahului senarai 24 penerima darjah kebesaran dan pingat negeri Perak di Istana Iskandariah di sini pada Ahad.
Wan Zahidi, 81, dikurniakan Darjah Dato' Seri Paduka Mahkota Perak (SPMP) yang membawa gelaran Datuk Seri sempena sambutan Ulang Tahun Keputeraan Ke-67 Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah.
Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, Datuk Seri Dr Zulkapli Mohamed turut dikurniakan darjah SPMP.
Penganugerahan Darjah Seri Panglima Taming Sari (SPTS) diberikan kepada Panglima Angkatan Tentera ke-22, Jeneral Tan Sri Mohammad Ab Rahman dan Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Ayob Khan Mydin Pitchay yang membawa gelaran Datuk Seri Panglima.
Sementara itu, Pegawai Kewangan negeri, Mohd Zaki Mahyudin menerima Darjah Dato' Paduka Cura Si Manja Kini (DPCM) yang membawa gelaran Datuk manakala 13 lagi penerima dikurniakan Darjah Dato' Paduka Mahkota Perak (DPMP) yang juga membawa gelaran Datuk.
Penerima DPMP pertama, Hakim Mahkamah Rayuan, Datuk SM Komathy Suppiah yang sepatutnya tersenarai menerima darjah itu tahun lalu.
Penerima lain adalah Exco Pembangunan Wanita, Keluarga, Kebajikan Masyarakat dan Pembangunan Usahawan negeri, Salbiah Mohamed; Pengarah Jabatan Kerja Raya Perak, Ir Hamdan Ali; Pengarah Pendidikan negeri, Mohamad Fauzi Mahson dan Pengarah Hospital Raja Permaisuri Bainun, Dr Megat Iskandar Megat Abdul Hamid.
Sultan Nazrin berkenan mengurniakan darjah sama kepada Setiausaha Bahagian Pelaburan Strategik Kementerian Kewangan, Nor Erni Ismail; Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Pembangunan Pertanian Negeri Perak, Yahanis Yahya; Naib Canselor Universiti Teknologi Petronas, Profesor Dr Mohamed Ibrahim Abdul Mutalib dan Presiden Persatuan Hoki Perak, Mohd Saiyuti Abd Samat.
Selain itu, Pesuruhjaya Tinggi Malaysia ke India, Muzafar Shah Mustafa dikurniakan DPMP bersama Pengarang Urusan Kumpulan NSTP, Datuk Ahmad Zaini Kamaruzzaman; Ketua Pegawai Eksekutif CST Auto Group of Companies, P Chandrasekaran; bekas Pengarah Perbadanan Taman Negeri Perak, Mohamed Shah Redza Hussein dan pakar kardiologi, Dr Lee Boon Chye.
Sultan Nazrin juga berkenan mengurniakan Darjah Dato’ Pahlawan Taming Sari (DPTS) yang membawa gelaran Dato’ Pahlawan kepada lima penerima.
Mereka adalah Pengarah Bahagian Geospatial Pertahanan, Kementerian Pertahanan, Brigedier Jeneral Dr Zambri Mohamad Rabab; Ketua Perhubungan Antarabangsa PDRM, Senior Asisten Komisioner R Suparamaniam; Pesara Angkatan Tentera Malaysia, Jabatan Hal Ehwal Veteran ATM-Kor Kesihatan, Brigedier Jeneral (B) Dr Leong Weng Foon; Inspektor Jeneral TLDM, Laksamana Muda Mohd Fadzli Kamal Mohd Mohaldin dan Panglima Bridged Kedua Infantri Malaysia, Brigedier Jeneral Asri Shukor.
Berangkat sama pada majlis istiadat itu, Raja Permaisuri Perak, Tuanku Zara Salim; Raja Muda Perak, Raja Jaafar Raja Muda Musa dan Raja Puan Besar Perak, Raja Nazhatul Shima Sultan Idris Shah.
Hadir sama, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi; Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad dan isteri, Datin Aezer Zubir.
Bersempena Hari Keputeraan baginda kali ini, seramai 238 penerima mendapat perkenan baginda untuk dikurniakan Darjah Kebesaran dan Pingat-Pingat Negeri Perak.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!