Tidak timbul konflik antara JPKKP dengan penghulu negeri
KOTA BHARU - Pelantikan 636 Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung Persekutuan (JPKKP) atau penghulu di Kelantan tidak akan menimbulkan sebarang konflik dengan penghulu lantikan kerajaan negeri.
Pengarah Pembangunan Negeri Kelantan Unit Penyelarasan Pelaksanaan Jabatan Perdana Menteri ( ICU JPM), Jasri Kasim berkata, pelantikan JPKKP mewakili kerajaan Persekutuan itu sebaliknya boleh menyelesaikan beberapa perkara termasuk melibatkan soal penyelarasan sumbangan atau bantuan kepada bakal penerima.
"Tak ada isu (berbangkit) kalau ada dua pihak (lantikan Persekutuan dan lantikan negeri) di satu-satu tempat.
"Malah, contohnya kalau kita ada sumbangan atau bantuan (untuk disalurkan) kita akan dapat nama daripada kedua-dua pihak jadi semua akan dapat, jadi tidak menimbulkan masalah," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Program Keselamatan dan Solidariti Palestin Bersama Penjawat Awam di Wisma Persekutuan di sini pada Ahad.
Jasri berkata, ICU JPM masih menunggu senarai nama calon JPKKP yang dicadangkan oleh masyarakat di peringkat akar umbi.Menurutnya, senarai itu dijangka diperoleh sebelum akhir bulan ini.
"ICU JPM akan meneliti senarai nama itu dan buat tapisan keselamatan bagi melihat sama ada calon benar-benar mewakili penduduk. Kita tidak mahu orang luar yang tidak tinggal di kampung tetapi dicalon untuk mewakili penduduk.
"Selepas semakan kita akan angkat syor pelantikan itu kepada Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah," katanya. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!