Hentikan cari keburukan, sebar fitnah - Sultan Nazrin

Sultan Nazrin Shah berkenan memeriksa kawalan kehormatan utama yang terdiri daripada 103 anggota dan tiga pegawai daripada Rejimen Askar Jurutera Diraja 2 Divisyen sempena sambutan Ulang Tahun Hari Keputeraan Baginda ke-67, di Istana Iskandariah pada Ahad. - Foto: Bernama
Sultan Nazrin Shah berkenan memeriksa kawalan kehormatan utama yang terdiri daripada 103 anggota dan tiga pegawai daripada Rejimen Askar Jurutera Diraja 2 Divisyen sempena sambutan Ulang Tahun Hari Keputeraan Baginda ke-67, di Istana Iskandariah pada Ahad. - Foto: Bernama
A
A
A

KUALA KANGSAR - Sultan Perak Sultan Nazrin Shah bertitah perbuatan mencari keburukan, mengaibkan, menyebar fitnah dan konspirasi menjatuhkan antara satu dengan lain perlu dihentikan agar negara lebih tenteram dan rakyat hidup lebih sejahtera.

Baginda bertitah, perasaan kemanusiaan dan keinsanan harus digabungkan dan dijelmakan secara kata-kata dan perbuatan.

"ALLAH mencipta manusia memiliki hati. Hentikan perlumbaan mencari keburukan, hentikan perbuatan aib mengaibkan, hentikan kerja-kerja menyebar fitnah, hentikan usaha meruntuh dan memusnahkan, hentikan konspirasi jatuh menjatuhi agar dunia lebih aman, negara lebih tenteram dan rakyat hidup lebih sejahtera,” titah baginda.

Sultan Nazrin bertitah demikian pada Istiadat Menghadap Sembah Taat Setia dan Penganugerahan Darjah Kebesaran Negeri Perak Darul Ridzuan sempena sambutan Ulang Tahun Hari Keputeraan Ke-67 baginda di Istana Iskandariah di sini pada Ahad.

Berangkat sama ke istiadat itu Raja Permaisuri Perak Tuanku Zara Salim.

Turut hadir Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Menteri Besar, Datuk Seri Saarani Mohamad.

Demi kemakmuran Perak dan kesejahteraan rakyatnya, Sultan Nazrin menitahkan menteri besar dan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan menjunjung setia kepercayaan baginda dan tidak mengecewakan amanah yang telah diberikan oleh rakyat.

"Memahami denyut jantung dan denyut nadi rakyat jelata serta keupayaan secara arif mentakrif pelbagai peristiwa yang berlaku di serata negara dan di seluruh dunia, juga keupayaan mengenal pasti kebenaran yang hakiki, merupakan satu tanggungjawab berat.

"Rakyat jangan terus dibiarkan menampi nyiru harapan, sedangkan janji tidak berisi. Harapan rakyat yang mahukan pemerintahan yang berlandaskan undang-undang, berintegriti, bersih rasuah dan tidak menyalahgunakan kuasa, hendaklah direalisasikan secara bersama,” titah baginda.

Artikel Berkaitan:

Sultan Nazrin bertitah tanggungjawab itu harus direalisasikan bersama oleh ahli-ahli Dewan Negeri, hakim, ulama, umara, Angkatan Tentera, Polis Diraja Malaysia dan badan-badan beruniform.

"Demikian jua seruan beta kepada pihak swasta, badan-badan sukarela, badan-badan kebajikan, pertubuhan-pertubuhan belia, badan-badan sukan serta rakyat keseluruhannya, agar saling bekerjasama memperlengkap usaha-usaha pembangunan yang dirintis oleh kerajaan beta,” titah baginda. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!