Program Jualan Rahmah ditambah di Sabah, Sarawak, Labuan

Armizan (dua dari kiri) bersama Isnin (kanan) menunjukkan ayam antara barangan yang dijual dalam PJR Beaufort di pekarangan Masjid Jamik, Kampung Kebatu Kabidang pada Ahad.
Armizan (dua dari kiri) bersama Isnin (kanan) menunjukkan ayam antara barangan yang dijual dalam PJR Beaufort di pekarangan Masjid Jamik, Kampung Kebatu Kabidang pada Ahad.
A
A
A

BEAUFORT - Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) akan menambah jumlah pelaksanaan Program Jualan Rahmah (PJR) di Sabah, Sarawak dan Labuan bagi November dan Disember depan.

Pemangku Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Armizan Mohd Ali berkata, selain peningkatan jumlah pelaksanaan, KPDN juga akan memastikan penawaran bekalan ayam ditambah dengan harga Jualan Rahmah pada kadar diskaun di antara 10 hingga 30 peratus.

"Pendekatan ini diambil sebagai salah satu strategi intervensi untuk membolehkan rakyat berpendapatan rendah dan sederhana mendapat akses kepada bekalan jualan ayam pada harga yang berpatutan.

"Pelaksanaan pendekatan ini akan ditumpukan di kawasan yang dilaporkan mempunyai isu penjualan harga yang agak tinggi di pasaran setempat," katanya kepada pemberita selepas hadir pada Program Jualan Rahmah Beaufort di pekarangan Masjid Jamik, Kampung Kebatu Kabidang di sini pada Ahad.

Hadir sama ialah Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Klias merangkap Pembantu Menteri Kerajaan Tempatan Dan Perumahan Sabah, Datuk Isnin Aliasnih.

Tambah Armizan lagi, pendekatan itu juga adalah sejajar dengan usaha untuk menangani sebarang isu berbangkit berkaitan kadar harga ayam susulan pengumuman penamatan langkah sementara penetapan harga kawalan bagi ayam bermula 1 November lalu.

"Langkah penetapan harga kawalan sementara berkenaan dilaksanakan bermula bulan Februari 2022 disebabkan harga yang terlalu tinggi pada masa tersebut yang melibatkan pemberian subsidi kepada penternak," katanya.

Untuk rekod, penetapan harga kawalan sementara ayam super sebelum 1 November 2023 bagi Sabah melibatkan dua harga iaitu RM12.00 per kilogram (kg) bagi pantai barat dan RM12.30 per kg bagi pantai timur.

Artikel Berkaitan:

Bagi di Sarawak, penetapan harga kawalan sementara ayam super sebelum ini adalah berbeza mengikut daerah dengan kadar di antara RM10.80 per kg hingga RM13.90 per kg manakala di Labuan, harga kawalan ayam super adalah RM12.30 per kg.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!