Graduan Palestin hiba terima PhD tanpa ahli keluarga
KUALA NERUS - [DIKEMAS KINI] Perasaan hiba dan pilu mengiringi langkah graduan Fakulti Sains Kesihatan dari Palestin, Hanan Kamel Mohammed Saad, 51 ketika naik ke pentas untuk menerima skrol Ijazah Kedoktoran (PhD) pada majlis konvokesyen di Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) pada Ahad.
Hanan yang hadir tanpa ditemani ahli keluarga berkata, perasaannya bercampur-baur kerana ketika ini dia lebih banyak memikirkan mengenai keselamatan adik-beradik dan saudara lain yang berada di Gaza, Palestin.
"Kali terakhir saya menghubungi keluarga semalam. Saya ada berbalas mesej dengan mereka menerusi Facebook dan Instagram.
"Memandangkan keadaan internet di sana agak lemah dan kerap terputus menyebabkan sukar untuk menghubungi keluarga begitu kerap namun mereka ada ucapkan tahniah pada saya.
"Saya bersyukur dan sangat merindukan mereka. Ingatan saya sentiasa kepada keluarga selain mendoakan kesejahteraan mereka supaya dilindungi ALLAH dan kekal selamat di Gaza," katanya.
Beliau berkata demikian dengan nada sebak ketika ditemui pemberita selepas Majlis Konvokesyen UniSZA kali ke-15 (Sidang Pertama) di sini pada Ahad.
Mengulas lanjut, Hanan juga menceritakan situasi di Gaza sangat memburuk kerana tiada tempat selamat untuk didiami kerana rejim Zionis Israel kerap melakukan serangan ke atas penduduk di Palestin.
"Tindakan Israel mengebom Gaza menyebabkan ramai penduduk terkorban dan cedera. Malah kebanyakan penduduk di sana juga kehilangan tempat tinggal.
"Ketika ini ahli keluarga saya sedang menetap di tempat yang selamat. Jadi tidak tahu sampai bila keganasan ini dapat dihentikan," ujarnya.
Dalam pada itu, Hanan turut berharap bahawa suatu hari nanti Palestin mendapat kebebasan seperti diperjuangkan selama ini selain tidak lagi ditindas oleh rejim Zionis Israel.
Hanan juga merancang untuk mencari peluang kerja yang lebih baik di Malaysia disamping ingin kembali ke tanah airnya untuk bertemu ahli keluarga dan sahabat handai di Gaza.
"Itulah harapan saya supaya dapat bertemu semula dengan mereka. Saya mendoakan mereka sentiasa kuat dan kekal tabah untuk hadapi ujian ini," katanya sambil menahan air mata.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!