Pemotong rumput diberkas belasah anak kandung
AMPANG - Berang anak menggunakan motosikal tanpa kebenaran, seorang lelaki bertindak menendang sebelum menampar mangsa dalam kejadian di sebuah rumah di Kampung Pasir Hulu Kelang dekat sini pada Sabtu.
Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Mohd Azam Ismail berkata, kejadian berlaku kira-kira jam 1.30 petang ketika mangsa berada di rumahnya.
"Siasatan awal dijalankan mendapati ketika kejadian ibu dan suspek bergaduh sebelum suspek tiba-tiba menendang di bahagian perut serta menampar mangsa.
"Mangsa kemudiannya dibawa mendapatkan rawatan di Hospital Ampang dan pemeriksaan mendapati mangsa mengalami kecederaan pada bahagian perut," katanya menerusi kenyataan pada Ahad.
Katanya, siasatan dijalankan kemudian membawa kepada tangkapan ke atas suspek kira-kira jam 3 petang.
"Suspek yang berumur 48 tahun dan bekerja sebagai pemotong rumput itu diberkas sepasukan anggota polis dari Bahagian Siasatan Jenayah IPD Ampang Jaya.
"Semakan mendapati suspek memiliki lapan rekod lampau melibatkan jenayah dan dadah selain saringan air kencing dijalankan mendapati suspek positif dadah jenis Methamphetamine," katanya.
Menurutnya, siasatan awal mendapati punca kejadian disebabkan suspek tidak berpuas hati mangsa menggunakan motosikal tanpa kebenaran.
"Suspek kini direman empat hari bagi siasatan lanjut di bawah Seksyen 323 Kanun Keseksaan dan Seksyen 18A Akta Keganasan Rumah Tangga 1994," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!