Pahang sedia jadi tuan rumah siri kejohanan kanu dunia
PAHANG bersedia menjadi tuan rumah siri kejohanan kanu dunia sekiranya ditawarkan Persekutuan Lumba Kanu Antarabangsa (ICF) pada masa akan datang.
Pengurus Besar Tourism Pahang, Kamaruddin Ibrahim berkata, ia berdasarkan kejayaan penganjuran kejohanan kanu antarabangsa, Pahang Ocean Paddle International Challenge (POPIC) 2023 edisi kedua yang telah melabuhkan tirai pada Ahad.
Menurutnya, Tourism Pahang dan Kerajaan Negeri Pahang khususnya juga berhasrat untuk menaik taraf acara itu sebagai salah satu siri kejohanan kanu dunia pada tahun-tahun akan datang.
"Kita juga berharap acara ini (POPIC) disenaraikan dalam kalendar acara ICF bagi menarik lebih ramai peserta dari luar negara pada penganjuran edisi ketiga tahun hadapan dan seterusnya.
"Saya telah berbincang dengan Naib Pengerusi Ocean Canoe ICF, Rob Jeckinson tentang cadangan ini dan berharap beliau mengesyorkan agar Pahang disenaraikan sebagai lokasi kalendar penganjuran acara kanu antarabangsa," katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas menyempurnakan Majlis Penutup dan Penyampaian Hadiah POPIC 2023 di Teluk Chempedak pada Ahad.
Turut hadir Datuk Bandar Kuantan, Datuk Razihan Adzharuddin, Pengurus Besar Lembaga Pembangunan Tioman (TDA), Datuk Edros Yahya dan Rob Jeckinson.
Kamaruddin berkata, sambutan peserta dari luar negara pada dua edisi POPIC belum memuaskan justeru, pihaknya akan cuba menarik lebih ramai peserta dari luar negara termasuk nama-nama besar pada edisi akan datang.
"Bagi acara POPIC seterusnya dijangka diadakan pada Julai tahun hadapan.
"Kita telah berbincang dan Julai paling sesuai diadakan pertandingan ini mengambil kira faktor cuaca dan kalendar acara ICF," katanya.
Beliau berkata, selain menarik lebih ramai peserta antarabangsa, pihaknya akan cuba menyediakan hadiah lebih besar sebagai tarikan.
"Selain itu kita juga akan cuma untuk kembali kepada format lima peringkat perlumbaan seperti yang dilaksanakan pada edisi pertama berbanding hanya tiga peringkat pada edisi kedua ini.
"Pahang mempunyai jajaran pantai yang panjang dari Rompin hingga Kuantan dan semuanya bersih, indah serta ada daya tarikan tersendiri," katanya.
POPIC 2023 berlangsung pada 3 November dan berakhir pada Ahad melibatkan tiga peringkat perlumbaan dengan jarak keseluruhan 48.5 kilometer (km) bermula di Pantai Rantau Panjang, Rompin dan berakhir di Teluk Chempedak di sini.
Bertemakan 'Whack The Wave', POPIC 2023 mempertandingkan enam kategori iaitu terbuka Antarabangsa SS1 (lelaki dan wanita); terbuka Malaysia TK2 (lelaki dan wanita) dan Inter Varsity (lelaki dan wanita).
Seramai 200 peserta dari dalam dan luar negara mengambil bahagian termasuk dari Australia dan New Zealands.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!