Utamakan bakat tempatan
BEKAS pengendali skuad kebangsaan, Wan Jamak Wan Hassan mengharapkan agar bakat tempatan lebih diberikan keutamaan berbanding pemain kacukan dalam program pembangunan Akademi Mokhtar Dahari (AMD).
Menurutnya, AMD tidak boleh tersasar daripada tujuan asal untuk mencungkil bakat dan mencari pemain tempatan di peringkat akar umbi yang berkualiti untuk diserapkan dalam pasukan kebangsaan.
“Jika nak cungkil bakat, melihat perkembangan dan pembangunan, maka bakat tempatan perlu dijadikan keutamaan dan perlu sabar untuk menantikan kecemerlangan yang bakal diserlahkan pemain muda negara.
“Jangan cepat untuk mengejar keputusan atau kecemerlangan dan AMD perlu terus memberikan kepercayaan penuh kepada bakat tempatan.
“Contohnya, kita tengok pemain Jepun atau Korea Selatan, mereka mana ada pernah menang kejuaraan semasa pertandingan bawah 12, 14, 15 atau 16 tahun macam pasukan AMD kita sekarang.
“Tetapi, macam mana mereka mampu layak ke kejohanan Piala Dunia Bawah 17 tahun dan Piala Dunia Bawah 20 tahun? Di sini kita nampak pembangunan dan perkembangan bakat tempatan mereka,” katanya.
Sebelum ini, Pengurus Besar AMD, Muhammad Yusuf Ibrahim berkata, AMD akan meluaskan pencarian pemain berdarah kacukan di peringkat akar umbi bersesuaian dengan pelan F:30 Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM).
Malah, AMD bakal mempunyai seorang pemain berdarah kacukan Malaysia-Nigeria Aidiel Zacharia Firdaus Nelson Abdullah yang akan diserap bermula tahun depan menerusi projek pencarian bakat di seluruh negara.
Mengulas lanjut kata Wan Jamak, AMD perlu mempercayai bakat tempatan di negara ini dengan memberikan peluang kepada mereka untuk menyerlahkan potensi masing-masing.
“Kadang-kadang pemain ini ada yang cepat matang, ada yang lambat matang. Kita kena sabar cungkil bakat mereka,tengok dan gilap kekuatan manakala kelemahan yang ada diperbaiki,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!