5G: Pendirian kerajaan jangan kenakan caj tambahan - Fahmi

Fahmi Fadzil- Foto Bernama
Fahmi Fadzil- Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Pengendali rangkaian mudah alih (MNO) tidak wajar mengenakan caj tambahan terhadap pengguna yang menaik taraf langganan kepada rangkaian 5G.

Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil berkata, kerajaan berpendirian demikian namun masih menunggu perkembangan terbaharu hasil perbincangan bersama MNO.

"Pendirian kerajaan adalah jangan kenakan caj tambahan. Kalau perlu saya akan arahkan (pengendali rangkaian mudah alih).

"Saya serahkan kepada Datuk KSU (Ketua Setiausaha KKD Datuk Mohamad Fauzi Md Isa) yang merupakan pengerusi bersama untuk jawatankuasa pelaksanaan 5G untuk buat pengumuman nanti Insya-ALLAH.

"Kalau boleh kita nak kerjasama daripada penyedia perkhidmatan telekomunikasi dan kita tunggu sedikit masa untuk mereka selaraskan beberapa perkara tapi saya difahamkan ada beberapa telco yang akan buat pengumuman... saya serahkan kepada mereka untuk umumkan nanti," katanya ditemui pemberita selepas Program Pemerkasaan OKU Celik Digital di sini pada Ahad.

Beliau berkata demikian mengulas mengenai keputusan mengenai caj tambahan yang mungkin dikenakan terhadap pengguna yang menaik taraf langganan kepada rangkaian 5G.

Pada 20 Oktober lalu, CelcomDigi Bhd (CelcomDigi) dilapor masih mengekalkan pendirian mengenai isu caj tambahan untuk langganan rangkaian 5G walaupun terdapat beberapa permintaan sebelum ini untuk memansuhkan caj tambahan itu.

Sementara itu, Fahmi ketika berucap pada majlis berkenaan berkata, Program Pemerkasaan Orang Kurang Upaya (OKU) Celik Digital adalah julung kalinya diadakan bersama-sama golongan OKU dari seluruh negara.

Artikel Berkaitan:

Katanya, ia merupakan salah satu usaha kerajaan untuk menghubungkan komuniti OKU dengan agensi kerajaan selaras aspirasi Malaysia Madani bagi memastikan tiada golongan masyarakat dalam negara ini terpinggir dalam pelaksanaan dasar dan inisiatif kerajaan.

"Kita akan kumpulkan maklum balas daripada tenaga pakar dan aktivis yang terlibat dalam program ini mengenai dasar-dasar KKD (Kementerian Komunikasi dan Digital) dan agensi-agensi.

"Mungkin kita perlu tambah beberapa perkara dan kita harap dengan libat urus ataupun keterlibatan daripada komuniti OKU pada hari ini kita akan dapat lanjutkan perbincangan dan dialog supaya dapat dimanfaatkan," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!