Johor Jewels pertahan kejuaraan NSL
JOHOR Jewels berjaya mempertahankan kejuaraan Liga Super Bola Jaring (NSL) selepas menewaskan KL Wildcats 47-43 dalam perlawanan akhir di Stadium Juara, Bukit Kiara pada Ahad.
Ia sekali gus menyaksikan Jewels menepati ramalan untuk muncul juara, manakala Wildcats pula gagal mencipta kejutan selepas turut tewas dalam perlawanan akhir pada edisi lalu.
Bagaimanapun, kemenangan dinikmati Jewels itu tidak semudah dijangka apabila Wildcats bermula garang dengan permainan tersusun selain ketajaman tonggak import Nassanga Shadiah Ssegujja untuk mendahului suku pertama 13-10.
Bersambung suku kedua, pengendali Jewels, Tracey Robinson meniupkan semangat buat para pemainnya menyaksikan mereka mula menemui rentak.
Jaringan demi jaringan oleh An Najwa Azizan nyata mematikan langkah Wildcats untuk menyaksikan Jewels berada di depan 26-21.
Aksi sengit terus berlarutan pada suku ketiga perlawanan dengan Wildcats yamg dibimbing Norizan Rajab terus mengejar mata dan memberikan tentangan kepada Jewels.
Namun, beberapa kesilapan pada dua minit terakhir suku ketiga itu menyaksikan Jewels terus menemui jaringan dan mendahului 38-30.
Suku keempat perlawanan menyaksikan dominasi Jewels dikekalkan untuk menamatkan perlawanan dengan kemenangan menjadi milik pasukan kendalian Tracey Robinson itu.
Dalam aksi penentuan tempat ketiga yang berlangsung lebih awal menyaksikan Perak Phoenix berjaya menewaskan Putrajaya Dynamites 69-67.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!