KPM rancang lantik guru kontrak - Pkharuddin
ALOR SETAR - Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) merancang untuk melantik guru kontrak bagi mengisi kekosongan jawatan itu ketika ini.
Ketua Pengarah Pendidikan, Datuk Pkharuddin Ghazali berkata, perkara itu sememangnya menjadi antara perhatian KPM selain menawarkan perjawatan tetap bagi Gred DG41 kepada 9,552 guru yang dilantik baru-baru ini.
"Insya-ALLAH dalam masa terdekat kita akan lantik secara kontrak, ini memang dalam radar kita.
"Kita sedang melatih guru-guru di Institut Pendidikan Guru dan kita juga sedang menambah baik kaedah untuk mendapatkan guru opsyen-opsyen tertentu," katanya kepada pemberita selepas Majlis Bicara Eksekutif Ketua Pengarah Pendidikan Malaysia Sempena Konvensyen Program Tranformasi Daerah di sini hari ini.
Beliau juga berkat, KPM akan terus menjalin kerjasama dengan institusi pengajian tinggi awam dan swasta untuk memastikan kekurangan guru pada masa hadapan dapat diatasi.
"Saya berharap guru-guru yang dibekalkan nanti dapat dipimpin oleh Pengetua dan Guru Besar dengan sebaiknya supaya mereka dapat memberi perkhidmatan jauh lebih baik serta berkualiti," katanya.
Pada Khamis lepas, Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek berkata, sejumlah 9,552 pelajar lulusan pendidikan ditawarkan jawatan Guru Gred DG41 bagi pengambilan tahun ini. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!