Tagih sokongan padu penyokong Manchester City
PENGENDALI Manchester City, Pep Guardiola meminta penyokong The Citizens untuk sentiasa memberikan sokongan padu kepada kelab itu walaupun berdepan prestasi tidak menentu pada saingan Liga Perdana Inggeris (EPL).
Menurutnya, beliau mengakui para pemain Manchester City amat memerlukan sokongan pemain ke-12 iaitu penyokong sebagai suntikan semangat kepada mereka.
“Jujurnya, saya dan para pemain Manchester City amat memerlukan sokongan padu penyokong-penyokong The Citizens tambahan pula kami bakal mengharungi jadual padat dan pelbagai pertandingan bermula minggu ini.
“Keyakinan saya tinggi bahawa para penyokong sentiasa ada di sana ketika kami bermain pada tahap terbaik, tapi para pemain ingin lebih seperti ketika kami berjuang untuk bangkit semasa ketinggalan 0-1 menentang Leicester City.
“Para pemain sebenarnya layak mendapatkannya atas apa yang telah mereka lakukan pada fasa ini. Jadi saya amat mengharapkan sokongan penyokong supaya kami kekal bermotivasi bersaing,” kata pengendali dari Sepanyol itu.
Pada aksi menentang skuad Brendan Rodgers di Stadium Etihad, skuad kendalian Guardiola terlebih dulu ketinggalan satu gol sebelum penyandang juara itu bangkit untuk menang 3-1.
Tambah Guardiola, sokongan padu penyokong Manchester City secara berterusan sememangnya diharapkan beliau bagi memberi tekanan kepada pendahulu Liverpool.
“Kami amat memerlukan kehadiran para penyokong kerana pemain-pemain tidak semestinya konsisten 90 minit terutama perlawanan berprofil tinggi.
“Dalam 10 minit pertama menentang Leicester City kami tidak bagus dan kehilangan penguasaan bola sebab itu sokongan penyokong penting.
“Saya percaya aura para penyokong The Citizens luar biasa bagi membolehkan kami tampil lebih bagus,” jelasnya.
Penyandang juara itu yang kini berada kedudukan ketiga liga dengan 38 mata selepas mengharungi 18 perlawanan bakal meneruskan kempen mempertahankan kejuaraan liga menentang Wolves di Stadium Molineux hujung minggu ini.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!