'Tiada tindakan serius negara Arab hentikan kezaliman Israel' - Mat Sabu

Mohamad Sabu
Mohamad Sabu
A
A
A

SHAH ALAM - Parti Amanah Negara (Amanah) mengkritik negara-negara Arab kerana tiada tindakan serius dilakukan bagi menghentikan kezaliman Israel terhadap penduduk Palestin.

Presidennya, Datuk Seri Mohamad Sabu berkata, umat Islam akan terus menjadi penonton untuk memprotes tindakan kejam itu, namun negara berkenaan kekal menjalinkan hubungan politik dan ekonomi yang menguatkan Israel.

“Di tengah negara-negara umat Islam kekal bekerjasama dengan Israel, berlaku perkembangan menarik di Eropah apabila beberapa kerajaan dan masyarakat mereka bangkit menentang kekejaman Israel seperti Republik Ireland.

“Negara itu bukan sahaja lantang tetapi juga bersuara keras dalam Parlimen Kesatuan Eropah yang mengutuk kekejaman dan tindakan berat sebelah segelintir kuasa Barat.

“Protes besar-besaran telah berlaku di New York, Washington DC, London, Dublin, Paris dan Berlin melibatkan demonstrasi pelbagai agama serta bangsa menjadi satu gelombang baru yang mengecam Zionis serta menggerunkan pemimpin-pemimpin Barat,” katanya menerusi satu hantaran di Facebook pada Ahad.

Tambah Mohamad, Turkiye menjalinkan kerjasama dengan Israel sejak 1950 sehingga sekarang telah menghasilkan berpuluh bilion nilai dagangan termasuk latihan ketenteraan bersama, pertukaran duta dan lawatan, serta kerjasama dalam sektor pelancongan giat dijalankan.

Jelasnya, ia boleh ditamatkan segera sebagai tindakan politik yang tidak melibatkan operasi ketenteraan.

“Semakin zalim dan ganasnya Israel menyerang serta membunuh rakyat Palestin, semakin banyak negara-negara Arab yang dahulunya bermusuh dengan Israel, kini mula menjalinkan hubungan diplomatik dan ekonomi.

Artikel Berkaitan:

“Negara yang mula bekerjasama dengan Israel seperti Emiriah Arab Bersatu (UAE), Bahrain, Sudan, Morocco dan Arab Saudi sedang berunding untuk menormalisasikan hubungan,” ujarnya.

Menurut beliau, negara-negara kiri seperti Colombia, Bolivia, Chile, Cuba, Korea Utara, Russia, China serta Vietnam lebih keras mengecam Israel dan sebahagiannya memutuskan hubungan dengan negara haram tersebut.

Katanya, bumi Palestin akan dibebaskan oleh masyarakat negara berkenaan berbanding sebahagian negara Islam yang bersekongkol serta menguatkan ekonomi Israel

“Kekayaan yang ALLAH kurniakan berupa minyak yang begitu banyak di rantau teluk tidak digunakan untuk membantu membebaskan Palestin.

“Sebaliknya puluhan billion digunakan untuk membiayai perang menjatuhkan Saddam Hussin di Iraq, menaja gerakan militan Al Qaeda dan ISIS, membuat kekacauan di Afghanistan, Iraq serta Syria dengan membiayai operasi ketenteraan yang membunuh ribuan rakyat Yaman,” jelasnya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!