SMK Meru tekad gempur habis SMK Dato' Harun
SEKOLAH Menengah Kebangsaan (SMK) Meru, tekad menampilkan tentangan sengit kepada pasukan pilihan SMK Dato' Harun, apabila kedua-dua berentap dalam perlawanan akhir Piala Datuk Mokhtar Dahari Bawah 18 tahun (B-18) 2023 di Arena Majlis Bandaraya Subang Jaya (MBSJ) pada Isnin.
Pengendali pasukan bola sepak B-18 SMK Meru, Muhammad Nazreen Na'im Mohd Zahari berkata, pasukan berpangkalan di Klang itu telah melakukan persiapan rapi dan teliti dari semua segi aspek teknikal serta taktikal bagi edisi 2023 terutamanya berdepan jagoan dari Tanjung Karang tersebut.
Malah kata Muhammad Nazreen, para pemainnya bertekad tidak akan memberikan laluan mudah kepada pasukan lawan dalam perlawanan akhir kali ini biarpun SMK Dato' Harun berstatus finalis tahun lalu dan juara Piala Sumbangsih baru-baru ini.
"Jarak masa seminggu selepas aksi separuh akhir yang kami perolehi ini memberikan peluang yang baik untuk memantapkan lagi pasukan dari segi pertahanan dan serangan.
"Tiba masanya untuk kami lakukan yang terbaik pada aksi akhir ini walaupun pada musim lalu persembahan yang kurang memuaskan.
"Tahun ini kami tidak akan mempersiakan peluang beraksi di pentas final untuk menjulang kejuaraan Piala Datuk Mokhtar Dahari, dengan memberikan saingan sengit kepada pihak lawan," katanya pada Sukan Sinar pada Ahad.
Sebagai rekod, SMK Meru, mengesahkan kemaraan ke perlawanan akhir kejuaraan mendapat tajaan Kumpulan Perangsang Selangor Selangor Berhad (KPS Berhad) selepas menewaskan SMK Jalan Kebun, Klang 4-2 menerusi penentuan sepakan penalti selepas kedua-dua pasukan terikat tanpa jaringan sepanjang 70 minit permainan.
Tambah Muhammad Nazreen, fizikal dan mental para pemain juga berada dalam keadaan yang sangat baik menjelang perlawanan tersebut.
Jelasnya lagi, kesebelasan terbaik SMK Meru akan diturunkan berdepan pasukan lawan setelah kesemua para pemainnya bebas daripada sebarang kecederaan.
"Motivasi para pemain berada pada tahap terbaik serta bersedia untuk memberikan tentangan sengit dalam perlawanan esok (Isnin).
"Harapan saya kepada pemain, kekalkan momentun dan fokus sehingga wisel penamat.
"Selain itu terjemahkan segala arahan taktikal diberikan semasa sesi latihan dan semasa dalam permainan dengan baik, saya percaya keputusan positif berpihak SMK Meru, Insya-ALLAH," katanya.
Pada masa sama mewakili anak-anak buahnya, Muhammad Nazreen berterima kasih kepada pengetua cemerlang SMK Meru, Siti Dinar Hamid dan barisan pentadbiran sekolah dalam memberikan sokongan padu kepada pasukan selama ini.
"Terima kasih juga kepada barisan jurulatih Mat Hassan Mat Ropi, Sabri Jaafar, Mohamed Faniezat Mat Rani, Azhar Nordin dan Sukri Ibrahim selaku pengurus pasukan.
"Tidak dilupakan juga para penyokong-penyokong warga Meru yang tidak berbelah bahagi memberikan sokongan kepada pasukan ini sehingga sampai ke tahap ini," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!